Anwar mahu jentera KEADILAN Melaka lakukan persiapan menuju PRU 15




Kekalahan KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru baru ini bukan bermakna parti tidak boleh kembali bangkit pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka pada tahun hadapan.


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kunjungan meraikan pimpinan, mantan calon dan jentera PRN malam tadi, menegaskan persiapan bagi PRU ke 15 untuk negeri Melaka perlu diatur mulai sekarang.


"Di Melaka malam ini mengadakan perjumpaan bersama pimpinan, anggota dan mantan calon-calon PH di PRN Melaka yang baru selesai.


"Saya ucap tahniah dan sekalung penghargaan buat calon-calon dan jentera yang berusaha sehabis mungkin untuk memenangi hati dan nurani warga Melaka. Namun, mereka telah membuat keputusan jelas dan kita hormat pendirian mereka.


"Lantaran itu, saya menggesa KEADILAN dan jentera untuk mulakan kerja dari sekarang untuk PRU dan negeri yang akan datang," katanya.


Dalam ucapan pada majlis itu Anwar yakin dengan prestasi KEADILAN yang lepas, apabila kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRN) di Ijok pada 2006 parti bangkit menawan Selangor pada 2008. Kalah dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016 kemudian bangkit pada PRU 2018 memerintah Malaysia.


"KEADILAN mesti kebah dan bangkit dari episod ini serta mesti kembali sebagai kesatuan yang jitu dan padu demi rakyat terbanyak," katanya lagi.

No comments: