JANGAN FITNAH DAN JANGAN KOMPAUN NAJIB – BELIAU DI MELAKA KERANA BERCUTI, BUKANNYA BERKEMPEN!!


 Dikesan setakat ini sebagai pemimpin yang paling sibuk bertemu pengundi menjelang PRN Melaka 20 November depan, bekas Perdana Menteri, Najib Razak rupa-rupanya sedang bercuti di negeri tersebut.

Hari ini beliau dilaporkan berada di kawasan Tangga Batu dalam sessi percutiannya itu sambil mengambil peluang bertemu dan beramah mesra dengan penduduk tempatan.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN turut membeli barangan basah seperti ikan dan sayur di Pasar Terbuka Pantai Puteri sebelum minum pagi bersama peniaga serta penduduk kawasan berkenaan.

Beliau yang diiringi Timbalan Speaker Dewan Negara yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Mohamad Ali Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Hasan Abd Rahman kemudiannya menikmati juadah asam pedas ketika makan tengah hari bersama nelayan dan masyarakat Kampung Hailam, Tanjung Kling di jeti nelayan kampung terbabit.

Najib berkata, beliau memilih Melaka sebagai lokasi percutiannya kali ini kerana negeri itu mempunyai banyak tempat yang boleh dilawati, selain mempunyai ramai kenalan lama.

“Saya bercuti dan bertemu masyarakat di sini dan ia bukanlah boleh ditakrifkan sebagai berkempen untuk pilihanraya.

“Saya cuma nak tengok sendiri keadaan di jeti nelayan, di samping memenuhi undangan Mohamad Ali untuk menjamu selera di sini,” katanya.

Najib juga dijadual menikmati cendol di Kampung Tengah, Bukit Rambai petang tadi serta membeli-belah di sebuah pasar raya di Taman Nirwana, Klebang.

Pada sebelah malam pula, beliau akan makan malam bersama penduduk di Batang Tiga serta beramah mesra dengan pengunjung `Down Town’ Dataran 1Malaysia, manakala pagi esok, beliau akan bersarapan pagi bersama penduduk Sungai Udang.

Woww…walaupun bercuti, tapi nampaknya begitu sibuk dan padat jadual Najib di Melaka.

Jarang-jarang ada rakyat Malaysia bercuti seperti dilakukannya itu.

Berdepan penguatkuasaan larangan berkempen oleh KKM berikutan kebimbangan wabak Covid19 boleh menular semula, apakah setiap kali Najib turun ke Melaka, alasannya tidak lain ialah semata-mata untuk bercuti?

Kalau begitu, jika beliau setiap hari berada di Melaka sehingga hari pengundian pada 2 November nanti, apakah alasannya juga untuk bercuti?

Apakah ini bermakna percutian Najib ke Melaka akan bersambung-sambung sehingga 20 November depan?

Jika itu yang berlaku, sementara orang lain yang biasanya bercuti ke Melaka atau mana-mana destinasi dalam negara hanya melakukannya selama dua tiga hari atau paling lama sehingga seminggu, apakah Najib akan mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia paling lama pernah bercuti ke Melaka?

Sejak zaman Parameswara, pernahkah ada sesiapa yang tinggal di Kuala Lumpur, tetapi menghabiskan percutian di Melaka selama lebih 20 hari seperti Najib?

Apa pun, jangan fitnah Najib dan KKM juga jangan keluarkan apa-apa kompaun kepadanya walau didapati semacam berkempen untuk pilihanraya.

Meskipun sibuk ke sana sini dan berjumpa ramai orang di Melaka, beliau sebenarnya bukanlah berkempen.

Beliau hanya bercuti….cuti-cuti untuk Keluarga UMNO. – ShahbudinHusin 30/10/2021.




No comments: