Belanjawan 2022 selesai beberapa perkara MoU
Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan semalam menyelesaikan beberapa perkara dalam memorandum kerjasama (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, antara cadangan yang berjaya memberi manfaat kepada rakyat ialah pengecualian bayaran faedah ke atas moratorium pinjaman bank berikutan pandemik Covid 19.
“Perkara 1.7 MoU Kerajaan-PH: Pengecualian bayaran faedah untuk moratorium pinjaman bank kepada B50 untuk tiga bulan suku ke-4 tahun ini.
“Satu kemenangan untuk rakyat. 8 dari 18 Perkara selesai dilaksana,” katanya dalam respons segera pembentangan Belanjawan.
Manakala Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir pula berpuas hati kerana cadangan PH berkenaan isu belia, mahasiswa dan wanita dimasukkan ke dalam dokumen Belanjawan.
“Ada beberapa perkara yang diusulkan oleh kami ada disebut oleh YB Menteri Kewangan seperti yang melibatkan kumpulan khusus belia, mahasiswa dan wanita.
“Namun perlu diteliti menyeluruh dokumen #Belanjawan2022 yang dibentangkan,” katanya.