Spot check datang haid tidak wajar diteruskan
Pemeriksaan ‘datang haid’ yang masih dilakukan di sekolah biar pun Kementerian Pendidikan berjanji hal itu akan dihentikan menunjukkan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional 2.0 dalam melaksanakan dasar.
Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis mengecam insiden yang berlaku di Sekolah Kolej Vokasional di Setapak Kuala Lumpur kelmarin, yang beliau anggap memalukan pelajar perempuan.
“Saya terkejut membaca berita “Period Spot Check” yang berlaku di Sekolah Kolej Vokasional di Setapak Kuala Lumpur .
“Saya beranggapan insiden seumpama ini satu bentuk penghinaan dan memalukan anak-anak perempuan yang belajar dan masih lagi bersekolah .
“Sedangkan pada Jun 2021 telah berlaku insiden sebegini malah kementerian berjanji tidak akan berulang kembali dan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas di peringkat kementerian bagi menanggani masalah berkenaan.
“Namun begitu, adalah sangat malang sehingga ke hari ini tiada sebarang perubahan dan perkembangan malah perkara ini masih berlaku lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Napsiah yang juga Pengerusi Bidadari Malaysia, laporan media Malaysiakini pada April 2021 berkenaan pendedahan berani berpuluh-puluh bekas pelajar mengenai pemeriksaan haid tersebut dan menimbulkan trauma seharusnya menyedarkan Kementerian Pendidikan untuk mengubah segera peraturan, dan bukannya bersikap lepas tangan.
Katanya, amat tidak bertamadun insiden sebagaimana dilaporkan, para pelajar perempuan dihendaki menunjukkan tuala wanita dengan kesan darah haid, calitan menggunakan putik kapas pada kemaluan mereka atau jari, malah terdapat laporan guru atau warden atau pengawas sekolah meraba bahagian sulit mereka bagi memeriksa samada mereka memakai tuala wanita atau tidak.
“Kami mengecam perbuatan sedemikian yang merupakan penghinaan dan juga satu pencabulan maruah mereka. Tentunya mangsa merasa tekanan emosi dan diremehkan.
“Kami menuntut dan mendesak supaya perkara ini dihentikan serta merta manakala guru atau individu yang terlibat dikenakan tindakan.
“Pada masa sama kami juga menuntut Kementerian Pendidikan melalui jawatankuasa yang kononnya ditubuhkan pada Jun lalu untuk mendedahkan dapatan-dapatan mereka, dan selanjutnya cadangan-cadangan bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi.