GEGAK-GEMPITA KONON NO BERSATU, REALITINYA 3 JUTA AHLI UMNO HIDUP-HIDUP KENA TIPU



Cissss…sembang kari dan gebang lebih saja UMNO selama ini rupanya.


Konon tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dan sedia berlawan dengan parti itu dalam PRN Melaka, hakikatnya semua itu hanya tipu dan propa saja.


Realiti yang tersembunyi, UMNO sebenarnya penakut dan kecut perut untuk bertanding solo dalam pilihanraya tersebut.


Kalau dengar sembang pemimpin UMNO, khususnya Zahid Hamidi bukan main lagi konon beraninya mereka – mahu bertanding sololah, sedia lawan tiga penjurulah, yakin boleh menanglah, tak mahu bersama dengan Bersatulah, akur ketetapan PAUlah dan macam-macam lagi gebang gajah terbang, tapi semua itu tidak lebih suatu penipuan belaka.






Kalau tidak takut untuk bertanding solo dan bukan menipu namanya, untuk apa MT UMNO membuat keputusan memberi mandat kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri untuk mencari jalan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka?


Dalam pengakuannya yang mustahil beliau berbohong, Ismail Sabri berkata, MT UMNO telah memberi mandat kepadanya selaku Perdana Menteri untuk berunding, termasuk berbincang dengan parti dalam kerajaan agar tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN Melaka.


Ismail yang juga Naib Presiden UMNO berkata, UMNO dan BN akan berusaha untuk mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan Bersatu.


Katanya lagi, beliau sedang menjalankan rundingan dengan PAS dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya dapat dielakkan, serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka, selaras mandat yang diberi MT itu.


“Keputusan UMNO adalah kita berhasrat mengelakkan pertembungan dengan mana-mana parti dalam kerajaan, terutama tiga penjuru.


“MT UMNO memberi mandat kepada saya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan,” demikian katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.


Dalam hal ini, adakah ahli UMNO tahu mengenai keputusan MT yang memberi mandat kepada Ismail Sabri untuk berunding dengan Pas dan Bersatu itu?


Kenapa dalam kenyataan media selepas mesyuarat MT minggu lalu hanya dilaporkan tentang hasrat UMNO untuk meneruskan kerjasama dengan Pas saja dan langsung tidak disebut tentang hubungan dengan Bersatu?


Mengapa UMNO tidak berterus-terang tentang mandat yang diberi kepada Perdana Menteri untuk mengadakan rundingan mengelakkan pertandingan tiga penjuru, termasuk dengan Bersatu itu?


Apa yang berlaku sekarang, Zahid Hamidi sudah berada di Jerman untuk menerima rawatan sakit belakang sehinggalah PRN Melaka berakhir, Najib Razak sedang sibuk berkempen untuk mencari kemenangan, tetapi Ismail Sabri dalam masa yang sama sedang mengadakan rundingan perdamaian dengan Bersatu.


Lakonan apakah semua ini?


Kepada ahli bawahan turut didendangkan dengan gegak gempita laungan UMNO tetap mahu berlawan dengan Bersatu, namun diam-diam Perdana Menteri diberi mandat berunding yang mana ia diputuskan oleh mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan oleh Zahid Hamidi sendiri.


Drama hipokrasi apa sedang mereka pentaskan ini?


Apa pun, lakonan dan hipokrasi ini menjadikan 3.4 juta ahli UMNO hidup-hidup kena tipu oleh pemimpin mereka sendiri. – ShahbudinHusin 31/10/2021.

No comments: