BALA DAH SAMPAI. ZAMAN NAJIB SUDAH BERLALU.Tunggakan cukai RM9.41 juta, LHDN mohon penghakiman terus terhadap Shafee

 

LHDN mendakwa Muhammad Shafee Abdullah masih gagal membayar amaun cukai pendapatan terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2016 termasuk kenaikan dikenakan, kesemuanya berjumlah RM9,414,708.32.

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memohon supaya kes samannya terhadap Muhammad Shafee Abdullah yang menuntut peguam itu supaya membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta diputuskan melalui penghakiman terus.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Menerusi carian sistem mahkamah, permohonan itu difailkan LHDN bagi pihak kerajaan selaku plaintif semalam atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan serta kenaikan cukai yang dikenakan ke atasnya berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

Berdasarkan notis permohonan itu, plaintif berhak mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan dan kenaikan tertunggak yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan perlu dibayar.

Hari ini ditetapkan sebagai pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syeela Marlina Uttaman yang turut disertai Peguam Hasil Mohamad Ezmeer Zulkarnaen Asnizar dan peguam Wee Yeong Kang bagi pihak Muhammad Shafee.

Mohamad Ezmeer ketika dihubungi pemberita mengesahkan bahawa pihak LHDN telah mengemukakan permohonan agar kes itu diputuskan melalui penghakiman terus.

“Selain penghakiman terus, pihak kami juga membuat permohonan untuk membatalkan tuntutan balas defendan,” kata beliau sambil menambah mahkamah menetapkan 13 Okt sebagai tarikh pengurusan kes selanjutnya.

LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei lepas dengan mendakwa sehingga kini, Muhammad Shafee masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan, kesemuanya berjumlah RM9,414,708.32.

Muhammad Shafee merupakan peguam bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

No comments: