SEPATUTNYA 300 BUKAN 30

 

Didedahkan dalam suatu jawapan bertulis di Parlimen bahawa Kompleks Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri kini sedang dalam proses ubahsuai dengan kos sebanyak RM30 juta.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, pengubahsuaian Kompleks Seri Perdana dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan selain memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara.

“Pengubahsuaian dan naik taraf kediaman ini perlu dilaksanakan mengambil kira faktor keselamatan Perdana Menteri.

Ini juga adalah untuk memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara di program rasmi Perdana Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang ditanyakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Ismail Sabri berkata lagi, pengubahsuaian itu merangkumi skop utama seperti penambahbaikan pendawaian elektrikal, mekanikal serta sistem pendingin hawa.

Katanya, ia juga membabitkan pengubahsuaian struktur di Blok Kediaman Rasmi serta penggantian perabot yang uzur dan daif, sesuai dengan status kediaman rasmi Perdana Menteri.

Apa yang difahami di sini ialah ubahsuai dengan kos RM30 juta itu dilakukan untuk menjamin keselamatan Perdana Menteri dan untuk memastikan imej negara sentiasa nampak mengkagumkan di mata tetamu utama negara yang datang melawat Malaysia.

Jika itu hujah dan alasannya, kos baik pulih Seri Perdana sepatutnya bukan RM30 juta, tetapi seharusnya wajib dinaikkan sehingga RM300 juta.

Bukankah apabila lagi tinggi kos belanja ubahsuainya, maka faktor keselamatan untuk Perdana Menteri dapat lebih dipertingkatkan lagi?

Begitu juga untuk menunjukkan imej negara kepada tetamu luar bahawa Perdana Menteri Malaysia mempunyai kediaman yang canggih dan mewah, bukankah ia hanya dapat dilakukan melalui kos ubahsuai yang tinggi berkali-kali ganda?

Apa kekaguman kepada tetamu luar yang dapat diserlahkan dengan hanya RM30 juta berbanding jika RM300 juta?

Oleh itu, jangan berlengah dan jangan segan-segan untuk tambah dan naikkan kosnya sehingga RM300 juta. – ShahbudinHusin 28/09/2021.






No comments: