MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM


MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM

Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong, kata Ahmad Zahid dalam sidang media maya di sini, pada Selasa. - Gambar fail


KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

“Kenyataan terbaharu Perdana Menteri hari ini, kata Ahmad Zahid, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong.

“Malah (ia) mempersendakan Baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media, secara maya di sini, hari ini.

Antara pemimpin UMNO yang menyertai sidang media itu ialah Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) serta Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang).

Ahmad Zahid turut berkata, bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Agong, MKT UMNO sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Tambahnya lagi, surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada Agong, sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, selaras dengan kehendak parti.

Selain itu beberapa lagi menteri dijangka akan mengikut tindakan beliau dalam masa terdekat.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, beliau akan mempersembahkan baki surat akuan bersumpah Ahli-ahli Parlimen UMNO kepada Agong dalam masa terdekat.

 

No comments: