KALAU SELEPAS MAHIADDIN NYATA DERHAKA INI PUN TAK KELUAR JUGA DARIPADA KERAJAAN, ELOKLAH UMNO DIBUBARKAN SAJA

 

Berikutan kemelut dan ketidaktentuan yang berpanjangan dalam kerajaan gagal pimpinan Mahiaddin Md Yasin, terbaru dengan Yang Dipertuan Agong sendiri menunjukkan kemurkaan baginda, UMNO akan mengadakan mesyuarat MT khasnya, petang ini.

Mesyuarat berkenaan akan berlangsung pada jam 4.00 petang secara dalam talian.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, mesyuarat khas tergempar berkenaan bertujuan membincangkan isu politik terkini, antaranya kenyataan media Istana Negara, warkah Agong, darurat serta ordinannya dan penangguhan sidang Parlimen semalam yang dilakukan oleh Mahiaddin.

Berdasarkan situasi terkini dan kedudukan UMNO yang merupakan komponen Ahli Parlimen terbanyak dalam kerajaan PN, mesyuarat petang ini tentulah bukan mesyuarat yang biasa-biasa.

Sebelum ini, pada 7 Julai itu, mesyuarat MT UMNO secara rasmi membuat ketetapan menarik sokongan terhadap Mahiaddin dan menggesanya agar berundur dengan segera.

Tetapi, oleh kerana ketetapan itu tidak disertai dengan keberanian UMNO keluar daripada kerajaan, maka Mahiaddin terus buat muka sardinnya yang tak malu itu dan enggan meletakkan jawatan.

Maka, ketetapan menarik sokongan UMNO itu boleh dikata langsung tidak bernilai apa-apa.

Ia malah bukan saja menyebabkan Mahiaddin tidak memperdulikannya, malah Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan sendiri, terutamanya Ismail Sabri yang baru beroleh jawatan Timbalan Perdana Menteri, turut tidak malu-malu untuk terus memberi sokongan serta mempertahankan Perdana Menteri.

Lebih buruk dan hodoh lagi perangai mereka itu, setelah Agong menunjukkan kemurkaan baginda pun, sokongan kepada Mahiaddin tetap juga dikekalkan lagi.

Cisss…pemimpin Melayu apa dan warganegara jenis apa mereka ini?

Ini juga bermakna, dalam jiwa kebanyakan pemimpin UMNO, sementara salah satu teras perjuangan parti itu ialah mendaulat dan mempertahan kedudukan Raja-Raja, hakikatnya kesetiaan dan jilatan mereka lebih kepada Perdana Menteri yang mampu memberikan jawatan dan kedudukan bagi meraih nikmat kehidupan di dunia ini.

Tetapi, kesalahan sebenar dalam hal ini adalah pucuk pimpinan UMNO itu sendiri yang tidak benar-benar tegas dan menyeluruh dalam keputusan yang dibuatnya.

Kalaulah sejak awal lagi UMNO bersikap berani, bukan saja menarik sokongan, malah keluar daripada kerajaan, sudah tentulah hari ini tidak berlaku sebarang penderhakaan terhadap Agong.

Bahkan, tidak perlu untuk Agong meluahkan rasa amat dukacita baginda yang sebenarnya itulah tanda kemurkaan seorang Raja.

Apa yang ada di depan mata kita sekarang boleh dikira sudah melampaui batas yang sepatutnya, bukan saja ada menteri yang terbuka menunjukkan sikap derhaka, enggan mematuhi titah Agong, lebih daripada itu Perdana Menteri dan seluruh kabinet turut menunjukkan penderhakaan mereka secara berjemaah.

Titah Agong agar Parlimen dibuka di mana ia terus diderhakai sehingga baginda bertitah sebanyak tiga kali mengenainya, maka ketika itu barulah ia cuba ditunaikan.

Itu pun tidak sepenuhnya titah Agong diakuri kerana dalam baginda bertitah agar perbahasan dilakukan, sebaliknya hanya sidang Parlimen khas yang penuh ucapan tanpa perbahasan serta pengundian menjadi persaksian kita semua.

Kemudian apabila Mahiaddin menangguhkan sidang khas Parlimen, sekali lagi dengan mengkambing-hitamkan alasan Covid19, tindakan itu juga sebenarnya adalah satu bentuk penderhakaan terhadap titah Agong.

Sementara tidak melaksanakan sepenuhnya titah Agong adalah penderhakaan, menghentikan perlaksanaan titah pula menunjukkan penderhakaan yang lebih buruk lagi.

Untuk itu, berikutan penderhakaan yang berulang-ulang dilakukan, Mahiaddin dan kerajaan PN ini tidak layak lagi diberi lanjutan masa mentadbir negara.

Dengan yang demikian, mesyuarat khas MT UMNO petang ini, jika tidak berani juga membuat keputusan keluar meninggalkan kerajaan PN atau menjatuhkan Mahiaddin, lebih baiklah UMNO selepas ini berhenti bercakap soal perjuangan untuk rakyat dan mendaulatkan Raja.

Kalau selepas petang ini masih lagi dengan keputusan sama – mengulangi menarik sokongan, mendesak Mahiaddin berundur, tetapi tetap kekal berada dalam kerajaan – eloklah juga UMNO ini dibubarkan saja dan masuklah beramai-ramai ke dalam Bersatu.

Kemudian sokong dan jilatlah Mahiaddin semahu-mahunya untuk sama-sama juga menjadi penderhaka kepada Raja.

Rakyat pun tentunya senang membuat keputusan tidak lagi memerlukan UMNO selepas ini kerana nampaknya ia terbukti parti paling tak berguna sekali.

 (ShahbudinHusin 03/08/2021)