Panas! Menteri Umno umum letak jawatan dari Kabinet

 Panas! Menteri Umno umum letak jawatan dari Kabinet


Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menjadi Menteri UMNO pertama meletak jawatan hari ini sebagai Menteri Tenaga Dan Sumber Asli selepas berakhir Mesyuarat Majlis Tertinggi petang tadi.

Dalam satu kenyataan, Shamsul berkata peletakan jawatan itu berkuatkuasa serta-merta dan mengucapkan terima kasih pimpinan UMNO yang mencadangkannya sebagai menteri sebelum ini dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana saya diberikan peluang berkhidmat sebagai Menteri Tenaga Dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan UMNO yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira ketetapan parti dan mematuhi arahan pucuk pimpinan sebagai tanda setia kepada parti.

“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti. Saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga kementerian yang banyak membantunya sepanjang berkhidmat sebagai menteri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kepada semua warga Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli.

“Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli bermula pada 10 Mac 2020.

Beliau pernah menjadi presiden Majlis Belia Malaysia bermula pada 2005 hingga kini. Di peringkat parti, beliau ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO (dipilih).

Sumber: https://www.agendadaily.com/isu-semasa/shamsul-anuar-jadi-menteri-umno-pertama-letak-jawatan-hari-ini/


No comments: