Agong ada kuasa pecat PM jika langgar Perlembagaan - Dr Aziz Bari

 



Perdana Menteri (PM) dalam sistem Wesminister sebagaimana diamalkan di Malaysia boleh dipecat oleh Ketua Negara sekiranya melanggar Perlembagaan atau tidak mahu menunjukkan majoriti keabsahannya untuk berkuasa.



Pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari berkata, duluan itu berlaku di negara Komanwel yang agak sama Perlembagaannya, iaitu di Australia pada 1975, apabila PM Gough Whitlam dipecat oleh Gabenor Jeneral Sir John Kerr setelah bertindak bertentangan Perlembagaan dalam waktu krisis.



"Ketua Negara sebenarnya ada kuasa pecat PM walaupun dia ada majoriti di dalam keadaan tertentu. Orang tanya, ada peruntukankah? Tak ada, tetapi duluan itu menjadi satu asas tentang keharusan Raja, Presiden atau Gabenor Jeneral untuk pecat PM



"Mengapa? Kalau dia tak ada majoriti. Atau kalau ada majoriti pun dia melanggar Perlembagaan atau memanipulasi Perlembagaan. Tinggal lagi terpulang kepada Ketua Negara itu. Dia berani atau tidak.



"Sekarang ini kalau kita tengok dia (Mahiaddin) berkali-kali mengelak dan menutup Parlimen. Tak mahu majoriti ditunjukkan. Ini kepada saya satu perkara yang agak luar biasa.



"Kelmarin Ismail Sabri kata 110 sokongan, kalau berani tunjuklah. Betul atau tidak. Ini yang kita marah, dia kata ada tetapi tak mau tunjuk. Parlimen buka entah bila.



"Ini pada saya mengganggu perjalanan Parlimen dan atas dasar itu PM boleh dipecat sebab menghalang Perlembagaan," kata Dr Aziz dalam forum anjuran Studio 137 bertajuk "Serius Lah! - Langgar Perlembagaan, Tangguh Parlimen" yang disiar di Facebook.



Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak itu lagi, alasan yang kuat untuk memecat apabila Majlis Raja-raja Melayu sebelum ini telah menyebut dalam kenyataan bahawa negara perlukan kerajaan mantap dan stabil.



Selain itu, katanya, Umno pula sering kali berkata menarik sokongan dari kerajaan Mahiaddin. Jadi PM telah kehilangan keabsahan untuk kekal berkuasa



Tambah Aziz, sekiranya mengikut duluan di Perak pada 2009 jawatan PM itu telah pun dianggap dikosongkan apabila berlaku hal-hal sedemikian.



Ditanya sama ada Agong mempunyai kuasa untuk menitahkan Parlimen mengadakan Undi Percaya di Parlimen bagi menentukan majoriti, Dr Aziz berkata hal itu boleh dilakukan.



"Dalam sistem Wesminister, Raja ada kuasa beri amaran, menasihat dan menganjurkan. Dia boleh menganjurkan (Undi Percaya).



"Orang Melayu lebih senang kata kalau tak dengar (titah) derhaka. Itulah yang berlaku (kuasa Agong). Boleh. Itu antara pendekatan dia boleh ambil.



"Boleh Agong anjurkan kepada Parlimen (menentukan majoriti) dan telah disebut juga secara tidak langsung oleh Majlis Raja-raja (dalam kenyataan) sebulan yang lepas (dengan peringatan mahukan kerajaan yang stabil)," katanya lagi.

 

No comments: