Segerakan sidang media PKP penuh, gesa ahli Parlimen DAP


Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata situasi sidang media ‘one man show’, diikuti kenyataan ‘u-turn’ oleh menteri lain kerana tidak berkomunikasi dengan yang lain perlu dielakkan.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen DAP menggesa Putrajaya segera mengadakan sidang media bagi menjawab persoalan sama ada perintah kawalan pergerakan lebih ketat akan diadakan di Lembah Klang atau seluruh negara.

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dalam satu kenyataan berkata, sidang media terdiri daripada Perdana Menteri bersama menteri bertanggungjawab di setiap kementerian yang terbabit jika PKP penuh dilaksanakan adalah perlu kerana spekulasi mengenainya semakin hangat diperkatakan ketika ini.

“Mari kita elakkan situasi sidang media ‘one man show’, kemudian diikuti kenyataan ‘u-turn’ oleh menteri lain kerana tidak berkomunikasi dengan yang lain.

“Mengadakan sidang media bersama Jemaah menteri akan meyakinkan rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional berkeupayaan untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya sambil menambah sidang media itu boleh dilakukan secara fizikal dan maya.

Beliau turut menggariskan lima persoalan yang perlu dijawab Jemaah Menteri dalam sidang media itu.

(i) Apakah rancangan untuk ujian saringan berkelompok dan mengesan kes positif ketika pkp diadakan? Berapa lama kita perlu asingkan dan beri sokongan kepada individu yang disahkan positif ketika program ujian saringan berkenaan?

(ii) Apakah garis masa untuk kelulusan oleh pihak berkuasa yang berkaitan seperti vaksin Sputnik dari Russia dan Cansino? Apakah maklumat atau dokumen yang diperlukan untuk menilai keberkesanan vaksin ini?

(iii) Apakah perancangan negara untuk mengawal penularan Covid-19 di sektor perkilangan yang mencetuskan hampir separuh kluster ketika ini? Apakah jenis penempatan yang perlu ditukar terutama bagi pekerja asing yang duduk di dalam kawasan kilang?

(iv) Apakah rancangan untuk mencegah wabak ini di penjara dan pusat tahanan negara? Adakah terdapat perancangan untuk memberi vaksin kepada tahanan dan pegawai penjara dalam waktu terdekat?

(v) Bagaimana bantuan kewangan dapat disasarkan kepada mereka yang paling terkesan ekoran PKP penuh antaranya peniaga kecil, sektor peruncitan dan sektor pelancongan? Adakah subsidi gaji akan ditawarkan kepada syarikat di beberapa sektor ini?

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba baru-baru ini berkata pihaknya dalam perancangan untuk mempertimbangkan PKP secara menyeluruh di Selangor jika jangkitan harian Covid-19 di negeri itu tidak menunjukkan penurunan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari turut menegaskan negeri berkenaan tidak menolak PKP secara menyeluruh bagi membendung penularan Covid-19.

Negara merekodkan 46 kematian dan 6,075 kes baharu Covid-19 semalam, rekod tertinggi jangkitan harian sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

Selangor kekal menjadi negeri tertinggi melaporkan kes harian positif Covid-19 hampir setiap hari dengan merekodkan 2,251 kes baru semalam. Setakat ini jumlah kumulatif jangkitan bagi negeri itu sebanyak 159,305 kes.


No comments: