PILIHAN BUAT MAHIADDIN – LAKSANA PKP PENUH SELURUH NEGARA ATAU BIAR KERAJAAN BAHARU AMBIL ALIH TANGANI COVID19?

 

Sementara angka kes Covid19 terus menunjukkan trend peningkatan yang ketara, kerajaan nampaknya masih gagal bertindak pantas serta tuntas untuk menanganinya.

Dalam saat-saat kritikal seperti sekarang, Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin pula terus menyenyapkan diri dan hilang bersembunyi entah ke mana.

Sepatutnya, dalam situasi seperti inilah beliau harus lebih kerap muncul memberi harapan dan keyakinan kepada rakyat yang sedang resah gelisah menjalani kehidupan.

Ternyata dengan apa yang berlaku ini, kita bukan saja mempunyai seorang Perdana Menteri yang gagal, malah sebenarnya paling gagal dalam sejarah negara.

Tidak pernah kita ada pemimpin segagal dan seburuk ini kegagalannya dalam memimpin negara.

Dengan trend kes makin meningkat ini, langkah paling tepat untuk dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan PKP penuh di seluruh negara sepertimana PKP 1.0 dahulu.

Ia mesti dilakukan selama 14 atau 21 hari dengan semua sektor ditutup dan semua orang hanya dikehendaki duduk di rumah bagi mengelakkan jangkitan serta penularan.

Tempoh 21 hari atau sekurang-kurangnya 14 hari adalah langkah paling praktikal untuk memutuskan rantaian Covid19, sesuai dengan tempoh mengeram virus tersebut dalam tubuh manusia ialah selama 14 hari.

Mencadangkan PKP penuh di Selangor saja tidak akan mampu membendung wabak tersebut, malah mungkin dilihat sebagai tindakan berpilih yang bersifat politik.


Memang kes agak tinggi di Selangor, tetapi peningkatan itu sebahagiannya adalah disebabkan lebih banyak saringan dan ujian dilakukan berbanding negeri-negeri lain.

PKP longgar seperti yang dilakukan sekarang – percayalah – ia akan gagal dan kita akan terus berdepan dengan peningkatan kes yang tidak terkawal selepas ini.

Kenapa Mahiaddin tidak belajar daripada PKP 2.0 yang gagal sebelum ini sehingga terpaksa pula dilaksanakan PKP 3.0 yang juga longgar dan separuh masak?

Bukankah lebih wajar dilakukan PKP penuh di seluruh negara supaya kita tidak perlu berdepan dengan PKP 4.0, PKP 5.0 dan seterusnya lagi selepas ini?

Tetapi, sudah tentu dengan melaksanakan PKP penuh di mana semua sektor ditutup, bantuan menyeluruh kepada semua rakyat adalah wajib diberikan.

Bantuan itu pula mesti diberikan kepada semua pemegang kad pengenalan supaya ia adil dan tidak ada yang terpinggir atau dinafikan daripada menerimanya dengan alasan-alasan birokrasi yang remeh.

Sanggup dan sediakah Mahiaddin melakukannya?

Jika tidak sanggup dan tidak bersedia, jalan paling baik ialah beliau harus segera letak jawatan daripada terus menyusahkan hidup rakyat.

Akuilah kegagalan dan ketidakmampuan itu dengan sedia berundur agar rakyat dan negara tidak terus sengsara dibuatnya.

Dalam masa yang sama, darurat hendaklah segera ditamatkan kerana ia terbukti tidak berfungsi sama sekali untuk memerangi Covid19.

Darurat yang dalam masa yang sama menyebabkan Parlimen digantung hanya terbukti sebagai alat untuk Mahiaddin mengekalkan jawatannya semata-mata.

Tiada sebab dan logik lain darurat itu dikuatkuasakan. Noktah.

Jika darurat itu berkesan untuk melawan Covid19, mengapa setelah empat bulan ia dikuatkuasakan, kerajaan masih perlu melaksanakan PKP 3.0?

Sandaran alasan Mahiaddin kepada Agong bahawa darurat mampu menangani Covid19 bukan saja palsu, malah suatu penipuan dan pembohongan.

Dengan itu, darurat perlu segera ditamatkan dan biarkan Parlimen dibenar bersidang sama ada untuk membincangkan langkah-langkah konkrit bagi menangani Covid19 atau untuk menukar kerajaan.

Kerajaan yang ada ini ternyata sudah gagal dan ia akan terus gagal jika terus diberi peluang mentadbir negara ini.

Pengurus bolasepak yang kerapkali menyebabkan pasukannya kalah memang wajib digantikan kerana adalah tidak berguna mengharapkan keputusan yang berbeza daripada pimpinan gagal yang sama.

Beri peluang kepada kerajaan dan pemimpin baharu untuk mengambil alih segala usaha menangani Covid19 ini, jika tidak, Hari Raya tahun depan pun sekali lagilah kita tidak dapat balik kampung menyambutnya.


 (ShahbudinHusin 19/05/2021)