Kerajaan tiada data ramal jangkitan Covid 19
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas gagal belajar daripada pengalaman menghadapi virus maut Covid 19 sejak setahun lalu kerana tidak mempunyai data pergerakan masyarakat.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat, pihak kerajaan sepatutnya telah memiliki data mobiliti rakyat dan boleh menentukan bilakah peningkatan jangkitan harian Covid seterusnya.
“Langkah kerajaan menangani Covid dilihat hampir sama (sejak tahun lalu) walaupun keadaan berubah dan cara merebaknya berubah. Kita harus tanya mengapa Covid nampak merebak?
“Pihak berkuasa biasanya menjangka 2 – 3 minggu ketinggalan. Misalnya apabila ada kelonggaran pergerakan seperti balik kampung dan sebagainya kes akan meningkat.
“Sebelum itu, bila ada sekatan tegas kontak antara masyarakat jauh menurun tetapi apabila dilonggarkan kes meningkat. Sepatutnya tiap-tiap minggu kita tahu (dapat menjangka).
“Kita hairan seolah-olah ada kejutan dan kerajaan panik. Padahal kes ini boleh dijangka. Tiga minggu sebelum peningkatan jumlah pesakit Covid positif, kita boleh jangka,” kata Anwar dalam satu siaran langsung Facebook.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, tanpa data menyeluruh (big data) maka tindakan kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara ‘borong’ ke atas semua kawasan akhirnya tidak menyelesaikan masalah.
Malah katanya, menambahkan kesukaran kepada masyarakat luar bandar apabila sekolah yang tidak terjejas Covid ditutup. Sedangkan pelajar tidak mempunyai kemudahan mencukupi untuk belajar dari rumah.
“Kalau kita tidak guna pengalaman setahun lalu maka kita menghadapi masalah lebih besar. Kita tidak ada data mencukupi, maka tidak boleh kita tekanan PKP kepada semua. Saya beri contoh Cameron Highlands, Gua Musang, Baling, Sabak Bernam umpamanya tidak terlalu terkesan. Tetapi diborong semua. Orang di kampung yang tiada kes merebak didera dengan peraturan yang sama seperti kes di sekitar kota.
“Perlu ada persefahaman jelas dengan pergerakan masyarakat, hubungan antara manusia dan mengapa perlunya pambatasan sosial serta vaksin, kerana kalau kita tidak tegas dalam hal ini keadaan akan menjadi tidak terkawal.
“Tindakan yang diambil untuk satu negeri kerana kurang kefahaman kes-kes terperinci juga bermasalah. Kita buat keputusan semberono. Sekolah ditutup, pasar ditutup dan sebagainya. Padahal ada sekolah di kawasan pedalaman yang tidak terkesan. Jadi dalam hal sedemikian perlu ada tindakan yang lebih arif tentang fakta,” kata Anwar.
Mengulas situasi Covid 19 yang mendadak tinggi di Selangor, beliau berkata hal itu kerana banyaknya ujian saringan dilakukan.
Katanya, tidak bermakna di negeri lain jangkitan kurang. Sekiranya negeri lain juga membelanjakan peruntukan untuk saringan percuma sebagaimana Selangor, barangkali kes yang dicatat akan sama tingginya.
“Kita harus jelaskan penambahan di Selangor kerana jumlah ujian saringan bertambah. Semalam yang disaring 3,000. Hari ini yang disaring 3,900 sekurang-kurangnya.
“Maknanya bertambah kerana di kawasan lain jauh berkurangan (ujian saringan). Kes Covid bertambah ini menjadi masalah dan kurang kawalan. 9 daripada 10 kes, iaitu 89.1% ialah sporadik, tercetus tanpa dapat dikesan dari mana.
“Oleh itu saringan (seluruh negara) mesti ditambah. Jangan ambil contoh Selangor kerana saringan inisiatif Kerajaan Negeri. Jadi kalau melihat kecuaian ini, saya anggap ia kecuaian (kerajaan PN) dalam menangani masalah ini,” katanya lagi.
Statistik Covid 19 mencatat jumlah tertinggi dalam sejarah semalam apabila kes jangkitan harian mencecah lebih 6,000 dengan jumlah di Selangor sahaja melebihi 2,000 kes.