By
20 May 2021
Shahir Adnan
KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang memberikan moratorium automatik
selama tiga hingga enam bulan bagi memberi kelegaan kepada rakyat selepas
banyak perniagaan merudum sejak awal Ramadan lalu.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata,
ramai peniaga-peniaga kecil mengalami kerugian yang drastik apabila jualan
persiapan bagi sambutan perayaan Aidilfitri terpaksa dibatalkan.
Katanya, kerajaan sekurang-kurangnya
perlu memberikan pilihan untuk melaksanakan i-Lestari 2.0 atau I-Sinar 2.0
dalam situasi sekarang.
“Anak-anak pula sudah memulakan proses pembelajaran dan
pengajaran di rumah. Menteri Kewangan juga perlu bertindak cepat dengan
menyalurkan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam belanjawan lalu
bagi membantu pelajar…150,000 laptop yang dijanjikan, kemudian “dipinjamkan”
masih belum nampak hasilnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Shahir lagi, kerajaan Perikatan Nasional (PN)
perlu berjiwa besar untuk mengakui kelemahan pelaksanan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP 3.0 yang gagal melandaikan kes harian Covid-19,
seterusnya memperbaiki SOP PKP 3.0 agar ianya berjaya.
“DPIM mencadangkan agar PKP 3.0 ini
diperketatkan seperti mana PKP 1.0 agar kes harian dapat diturunkan dengan
drastik. Rakyat makin tertekan dengan PKP yang berlarutan, tetapi separa masak
yang menyebabkan kes harian tidak turun-turun.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri Selangor, perlu menerima
realiti bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar kes harian dan keadaan ini
membimbangkan. Usah politikkan situasi Covid-19 dan tanggungjawab mereka adalah
untuk mententeramkan keadaan semasa,” tegasnya. –MG