(KEMASKINI) Neelofa dan suami mengaku tak bersalah atas tuduhan langgar SOP
SEREMBAN: Neelofa dan suaminya, Haris Ismail mengaku tidak bersalah atas tuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Neelofa didakwa dengan satu pertuduhan kerana gagal mengimbas aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon ketika masuk ke sebuah kedai karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada kira-kira 4 petang, 2 Mei lalu.
Sementara itu, Haris, yang juga dikenali sebagai PU Riz, didakwa dengan dua pertuduhan kerana gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam di lokasi sama pada waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan bagi kedua-duanya dibuat bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.
Mengikut peraturan tersebut, pasangan tersebut masing-masing boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum enam bulan, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.
Pasangan selebriti berkenaan membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mahyun Yusoff dan meminta dibicarakan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling, memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 bagi Neelofa dan RM20,000 bagi PU Riz.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili pasangan tersebut, Haresh Mahadevan menegaskan kes berkenaan sepatutnya tiada bon jamin kerana ia bukan kes jenayah.
Mahkamah kemudian memerintahkan Neelofa membayar jaminan RM5,000 manakala PU Riz dikehendaki membayar RM10,000.
Mahkamah menetapkan 4 Jun 2021 bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
Sebelum ini, pasangan itu mencetuskan kemarahan warganet kerana didakwa merentas negeri untuk membeli karpet pada 2 Mei lalu, seperti yang dilihat dalam gambar dan video yang dimuat naik Neelofa sendiri di media sosial.
Ramai mempersoalkan bagaimana mereka boleh merentas negeri semata-mata untuk membeli barang perhiasan rumah.
Susulan itu, mereka dipanggil memberi keterangan selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai pada 4 Mei lalu.
Turut diambil keterangan bagi membantu siasatan adalah pemilik premis serta pembantu kedai karpet itu.