Ini kemuncak atau permulaan kepada keadaan Covid-19 lebih teruk?

 

Minderjeet Kaur

 -

May 20 , 2021 



Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan perlu mencari pendekatan lain dan tidak bergantung kepada sekatan pergerakan semata-mata untuk menurunkan kadar jangkitan.

PETALING JAYA: Rekod tertinggi 6,075 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini menunjukkan jangkitan mungkin mencapai kemuncaknya – melainkan ia sudah menular jauh ke dalam masyarakat, maka ia boleh merebak lebih cepat, kata seorang pakar kesihatan.

Bekas menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kebanyakan kes mungkin dijangkiti sebelum perintah kawalan pergerakan 3.0 dilaksanakan sejak 12 Mei lalu, sehari sebelum Hari Raya dan dijadualkan berakhir 7 Jun ini.

“Ini mungkin memuncak atau meningkat sedikit. Tetapi, menjelang akhir minggu ini atau minggu depan, kes patut berkurangan kerana pergerakannya dihadkan,” katanya kepada FMT.

Namun, beliau berkata, jika ramalannya salah, “maka ia menunjukkan virus itu sudah menular jauh ke dalam masyarakat dan keadaan mungkin bertambah buruk.”

 Beliau mengulas rekod tertinggi 6,075 kes baharu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini. Semalam, rekod tertinggi 47 kematian dilaporkan.

Walaupun selepas PKP berakhir, Lee berkata, kes mungkin hanya berkurangan kepada 2,000 hingga 3,000 kes setiap hari.

“Tetapi untuk menguruskan Covid, ia harus lebih rendah atau hanya lebih sedikit daripada 1,000 kes setiap hari.”

Perlu SOP disasarkan 

Lee berkata, kerajaan perlu meminda SOP kerana data daripada kluster menunjukkan jangkitan berpunca daripada aktiviti perkumpulan dan kegagalan memakai pelitup muka.

Ahli Parlimen Gopeng itu mencadangkan SOP ketat untuk aktiviti perkumpulan dan majlis perkahwinan di rumah boleh dibenarkan, tetapi dengan pemantauan polis.

Katanya, ia harus terhad kepada jumlah hadirin tertentu, bergantung kepada saiz venue dan tetamu hanya boleh makan dan meninggalkan majlis itu.

Bagi sekolah, Lee berkata, hanya 15 pelajar dibenarkan untuk setiap kelas.

“Kementerian Pendidikan harus memperkenalkan sekolah alternatif untuk mengawal jumlah pelajar.”

Katanya, pelajar mesti memakai pelitup muka setiap masa, dengan bilangan pelajar lebih sedikit dan penjarakan fizikal diamalkan, jangkitan dapat dibendung.

Lee menyarankan Putrajaya membenarkan rakyat menjalankan ujian kendiri di rumah, jika terdapat penularan di tempat kerja atau kawasan mereka.

Beliau berkata pihak berkuasa peranti perubatan di bawah KKM boleh menentukan peralatan yang digunakan untuk ujian air liur dan mendapatkannya dari negara lain pada kos rendah.

“Jika kita boleh menurunkan harnya kepada RM10 atau RM20 setiap ujian, lebih ramai orang boleh mendapatkannya.”

Katanya, kerajaan perlu meneliti pendekatan lain, mengkaji semula semua SOP dan tidak bergantung kepada sekatan pergerakan semata-mata untuk mengurangkan kadar jangkitan.

 


No comments: