Kenapa Sarawak boleh dapat kelulusan, Pulau Pinang tidak



MG-UTARA-28042021_05

By

 Wartawan MalaysiaGazette

 -

 18 May 2021


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempersoalkan bagaimana Sarawak boleh mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan untuk membeli bekalan vaksin Covid-19 sedangkan Pulau Pinang tidak menerima kelulusan yang sama.

Dakwanya, sejak 15 Februari 2021, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memohon kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac bagi kegunaan rakyat negeri itu tanpa melibatkan kos kepada kerajaan persekutuan.

Namun selepas tiga bulan, permohonan tersebut masih tidak mendapat maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan.

”Beberapa hari lepas, Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee mengatakan Sarawak bakal menerima 500,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac yang dibeli melalui inisiatif kerajaan negeri.

”Mengapa permohonan Pulau Pinang untuk mendapatkan vaksin Covid-19 tidak mendapat sebarang maklum balas KKM selepas tiga bulan sedangkan Sarawak sudahpun mendapat kelulusan?

”Adakah ini kerana perbezaan politik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang?,” soalnya.

Steven berkata, isu bekalan vaksin adalah masalah utama dalam program imunisasi sekarang apabila bekalan vaksin tidak mencukupi.

Walaupun pemberian vaksin sudah bermula pada Fasa 2 April lalu, sehingga kini, masih ramai warga emas yang merupakan kumpulan sasaran bagi fasa ini masih belum mendapat tarikh untuk menerima dos pertama mereka.

“Dalam kenyataan saya sebelum ini, saya telah memberi amaran bahawa matlamat vaksinisasi 9.4 juta penduduk Malaysia menjelang Ogos 2021 dan seterusnya sasaran vaksinisasi 80% penduduk Malaysia pada hujung tahun ini akan gagal jika kerajaan tidak membuat perubahan yang drastik kepada proses sedia ada bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada masa kini.

Jelasnya, semakin hari semakin ramai rakyat yang terkorban dengan sia-sia dengan kematian harian tertinggi mencecah 45 orang dan kini berjumlah 1,947 orang.

Jangkitan gelombang ketiga Covid-19 juga melonjak tinggi sehingga kembali ke paras 4,000 kes baharu setiap hari.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu melakukan apa sahaja untuk memastikan benteng terakhir negara iaitu PICK tidak gagal seperti strategi melawan Covid-19 sebelum ini.

Steven berkata, ini bukannya masa untuk berpolitik dan Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri tanpa melihat kepada perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan Covid-19.

Menurut beliau, Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengenepikan perbezaan politik dan menjadi antara negeri terawal menyahut seruan Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama melawan Covid-19 sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020.

”Apabila kerajaan negeri Pulau Pinang kini sanggup memberi bantuan kepada kerajaan persekutuan dalam pelaksanaan PICK, jangan pula menolak tanpa sebarang alasan yang munasabah,” ujarnya.

 

No comments: