Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersolidariti
bersama anak-anak muda yang turun ke jalan raya menegur kerajaan Perikatan
Nasional (PN) sebagaimana yang berlaku di Kampung Muhibbahraya, Tawau dan
terkini di Kampung Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Menurut kenyataan NGO berkenaan, tindakan polis yang menahan selama 4 hari para anak muda Parit Raja di bawah Seksyen 144, 269, 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan jalan (APJ) 1987 adalah keterlauan serta tidak sewajarnya berlaku, sedangkan mereka hanya mahukan hak bersuara.
Mereka hanya mengamalkan hak sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, kebebasan untuk berhimpun dan bersuara tentang kegagalan kerajaan menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat yang sedang tertekan akibat pandemik Covid-19.
"Sebagaimana dalam perhimpunan aman biasa, pihak polis sepatutnya membantu para demonstran terutamanya anak-anak muda supaya mereka berhimpun dalam keadaan aman.
"Biarkan mereka berhimpun dan kerajaan perlu duduk serta mendengar keluh kesah rakyat," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.
NGO itu juga menuntut kerajaan PN segera membuka kembali Parlimen agar suara anak muda boleh dibahaskan oleh wakil mereka dan tidak perlu lagi aksi di jalan raya pada masa hadapan.
"Sekiranya kerajaan sensitif dengan keadaan ini, mereka perlu sedar bahawa ruang-ruang rasmi yang efektif bagi membincangkan situasi rakyat di bawah seperti sidang Parlimen yang ditutup menjadi sebab anak-anak muda membawa suara mereka ke jalan.
"Parlimen adalah ruang terbaik kepada wakil-wakil rakyat untuk membawakan permasalahan dan membahaskan kaedah terbaik menangani isu-isu sosial dan ekonomi agar negara dapat keluar daripada pandemik Covid-19 ini dengan selamat.
"Bersih 2.0 menggesa kerajaan segera membuka Parlimen supaya wakil rakyat dapat memberikan maklum balas mereka secara rasmi di dewan yang mulia agar kerajaan dapat memperbaiki tindakan mereka dalam menangani Covid-19," kata kenyataan itu lagi.
Penutupan ruang-ruang untuk rakyat bersuara secara bebas, kata Bersih 2.0 hanya akan menatijahkan aksi yang lebih keras dan berani daripada rakyat bawahan.