HATI HATI DENGAN JAJARAN BAHARU

 


Jajaran baharu UMNO, DAP selepas PRU-15 bukan mustahil – UMNO Paya Besar

By

 Muhammad Azizul Osman




Noraini-Ahmad-bersama-Ong-Kian-Ming


 18 May 2021

Noraini Ahmad bersama Ong Kian Ming



KUALA LUMPUR – Tidak mustahil untuk UMNO dan DAP membuat jajaran baharu politik selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, kehadiran bersama Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dengan pemimpin DAP, Ong Kian Ming dalam satu majlis baru-baru ini memberi bayangan pembentukan jajaran politik dua parti itu mungkin berlaku.

Beliau berkata, kemungkinan itu boleh berlaku disebabkan tiada parti yang dilihat lebih dominan selepas PRU-15 untuk membentuk kerajaan.

“UMNO akan banyak bergantung kepada pelbagai rundingan dengan parti-parti politik selepas pilihan raya.

“Jadi, kemungkinan berlakunya jajaran baharu ini boleh berlaku. Persoalannya adakah tidak wajar sekiranya ia berlaku? Ramai kata sekarang ia tak wajar.

“Bagaimanapun, kejatuhan Barisan Nasional (BN) dahulu kerana jajaran baharu juga antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan PKR dan DAP. Kalau itu sebagai sesuatu yang tidak betul, kenapa pula dulu boleh diterima oleh Bersatu?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Tajuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Noraini bahawa kehadiran Ahli Parlimen Bangi itu semasa lawatannya bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Hussaini Omar di kediaman pelajar PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Azura Omar, yang sedang berjuang melawan penyakit kanser di Sungai Merab, Bangi, adalah secara kebetulan.

Menteri Pengajian Tinggi itu juga berkata, pertemuan tersebut tidak melibatkan sebarang arahan daripada pimpinan UMNO.

Noraini sebelum ini menjelaskan, pertemuan itu berlaku ketika beliau sedang melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bagaimanapun, Kian Ming dalam laporan media menjelaskan program ziarah itu dibuat secara terancang selepas pemimpin DAP itu memberi maklumat mengenai mahasiswa tersebut yang menghidapi kanser tahap empat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Tajuddin berkata, jajaran politik baharu UMNO bersama DAP dan PKR tidak mustahil menjadi kenyataan memandangkan Pas pernah bekerjasama dengan kedua-dua parti di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Justeru itu, beliau menasihatkan ahli-ahli UMNO agar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Persoalan sekarang ini ialah kesesuaian dari segi ideologi sama ada DAP, PKR dan UMNO boleh duduk semeja bergantung kepada kesesuaian ideologi.

“Tetapi kalau tengok kepada yang ada hari ini, memang kesesuaian itu tidak ada dan ia sekali lagi bergantung kepada jajaran untuk disatukan berdasarkan kesesuaian dari segi ideologi.

“Kalau bertegas dengan masing-masing ideologi yang ada sekarang tak mungkin boleh berlaku,” katanya. 

 

No comments: