MENGAMBIL WANG KWAN TANDA MAHIADDIN TERDESAK


 Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin benar-benar terdesak sekarang. Jika tidak terdesak, masakan duit masa depan generasi akan datang dalam Kumpulan Wang Amanah Negara akan digunakan untuk membeli vaksin.

Inilah padahnya apabila Kerajaan PN sebuah pemerintah yang sangat besar saiz. Bilangan kementerian, menteri dan timbalan menteri mencatatkan rekod paling ramai sejak Malaysia merdeka.

Untuk menampung sebuah kerajaan yang “tidak mengukur baju di badan sendiri”, maka Kerajaan PN memerlukan perbelanjaan tambahan sebanyak RM7 bilion.

Jika saiz kerajaan dikecilkan, bilangan menteri dan timbalan menteri dikurangkan maka Kerajaan tidak perlu menyentuh Kumpulan Wang Amanah Negara.

Wang amanah tersebut adalah untuk generasi akan datang.Sejak ditubuhkan pada tahun 1988 dan diurus oleh Bank Negara di bawah Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, wang dalam tabung tersebut tidak pernah disentuh oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini. Kerajaan PN sekarang patut berasa malu.

Saya ingin bertanya dua soalan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, di luar Parlimen sekarang kerana Parlimen telah digantung sejak 11 Januari 2021.


Soalan saya yang pertama ialah di manakah perginya Tabung Covid-19 yang telah diuntukkan sebanyak RM55 bilion (RM38 bilion untuk tahun 2020 dan RM17 bilion untuk tahun 2021)?

Soalan kedua saya ialah, tidakkah Parlimen sebelum digantung telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 bilion untuk membeli vaksin.

Ke mana pergi duit itu? Adakah RM3 bilion masih tidak mencukupi sehingga duit amanah di dalam Kumpulan Wang Amanah Negara hendak diambil?

Wang di dalam Kumpulan Wang Amanah Negara tidaklah sebanyak duit yang tersimpan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Di dalam Kumpulan Wang Amanah Negara hanya terdapat sebanyak RM16.9 bilion sahaja berbanding wang dalam KWSP bernilai beratus bilion ringgit.

Itupun, Kerajaan PN tergamak untuk ambil duit dari Kumpulan Wang Amanah Negara yang dikumpul sedikit demi sedikit dari sumbangan Petronas dan sumbangan dari negeri-negeri yang menerima royalti petroleum.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin betul-betul nekad. Betul-betul terdesak tidak ada duit kerana bebelanja boros selama lebih setahun ini sejak berkuasa pada 1 Mac 2020.

Untuk mengelak supaya tidak dituduh pecah amanah dan menjarah Kumpulan Wang Amanah Negara, Kerajaan Darurat PN ini sanggup meluluskan Ordinan Darurat yang baru untuk meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 bagi membolehkan kerajaan menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Negara itu untuk membeli vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Ini semua dapat dilakukan oleh Perdana Menteri Muhyiddin dan Kerajaan PN pimpinannya kerana Parlimen digantung.

Ini antara lain sebabnya maka Darurat disytiharkankan supaya kerajaan PN yang tidak ada mandat ini dapat memerintah tanpa melalui proses semak dan imbang oleh Parlimen.

Tragedi malang yang menimpa negara dan rakyat sekarang ini dapat dielakkan sekiranya Parlimen masih dapat bersidang.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang.