Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius tindakan Pegawai Kesihatan Persekitaran U42, Zuharnan Rashid yang menyaman Masjid Sri Maulana, Pekan, Pahang kerana tidak memaparkan QR Code dan buku pendaftaran lawatan.
Tindakan mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana kesalahan tersebut telah menimbulkan persoalan kerana SOP berkenaan diletakkan di tempat yang sepatutnya kerana masih terlalu awal untuk dipamerkan.
“Mengapakah sebagai seorang Islam, Zuharnan tidak menggunakan pertimbangan sebelum mengeluarkan kompaun dan menasihatkan pegawai masjid itu melakukan apa yang sepatutnya? Mengapa terburu-buru untuk mengeluarkan saman?
“Adakah Ketua Pengarah Kesihatan ada menawarkan insentif atau ada kuota perlu dipenuhi untuk setiap kompaun?” soal PPIM.
PPIM turut membidas tindakan pegawai kesihatan terbabit yang kononya bertindak tegas tetapi tidak kena pada tempatnya.
“Masjid adalah rumah ibadat umat Islam dan agama itu adalah agama persekutuan dan kita yakin Zuharnan juga seorang Islam, mengapa bersikap tegas tak bertempat,”katanya.
Justeru, menurut PPIM rakyat kini sudah jelak dan banyak mempersoalkan pelanggaran SOP yang serupa di mana ketidakadilan berlaku dan tiada tindakan diambil jika kesalahan itu dilakukan oleh artis atau ahli politik walaupun kertas siasatan telah dibuka.
Walaupun kompaun itu telah dikurangkan sebanyak 50 peratus dan diselesaikan oleh seorang individu, katanya jumlah wang RM5000 itu boleh dimanfaatkan kepada perkara yang lain, mungkin untuk dihulurkan bantuan kepada saudara mara Zuharnan sendiri.
PPIM berharap Ketua Pengarah Kesihatan memandang serius perkara ini dan menasihatkan pegawai bertugas agar lebih rasional dalam menjalankan tugas mereka.
“Kami juga menggesa YBhg Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah mengeluarkan kenyataan khas menjelaskan perkara ini agar kekalutan tindakan pegawai ini tidak menjadi amalan pegawai penguatkuasa yang lain,” kata PPIM.
Masjid Sri Maulana, Taman Sri Maulana Pekan Pahangg telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 pada Selasa lalu berikutan tidak mematuhi SOP.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, notis kompaun itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan atas kegagalan menyediakan pengimbas kod bar MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan.