Kecilkan saiz kabinet jimat RM7 bilion, tak perlu dana KWAN
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi membeli vaksin Covid 19 sekiranya kerajaan mengecilkan saiz kabinet sedia ada.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan bersama 3 langkah lain untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke dalam ketidaktentuan kewangan, pentadbiran dan politik sejak darurat diisytihar 12 Januari lalu.
“Tiga langkah harus diambil untuk menyelesaikan masalah ini tanpa perlu mengusik wang masa depan negara dalam KWAN. Pertama, kurangkan jumlah jemaah menteri yang terlalu ramai angkara ‘scheme of things’ Tan Sri Mahiaddin Yassin. Dengan langkah itu kerajaan boleh menjimatkan RM7 bilion.
“Kedua, perluaskan pemerolehan vaksin merentasi syarikat swasta dan kerajaan negeri. Benarkan pembelian dan pengedaran vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) oleh pihak swasta dan Kerajaan Negeri.
“Ketiga, sekiranya kerajaan buntu dan tidak berkemampuan menguruskan krisis maka buka semula Parlimen. Kita (pembangkang) bincang bersama cari jalan penyelesaian yang terbaik demi rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ketua penerangan KEADILAN itu lagi, beliau menentang keras sebarang langkah menggunakan simpanan masa hadapan generasi akan datang di dalam KWAN bagi apa pun tujuan
Tegasnya, sidang Parlimen tahun lalu telah pun meluluskan dana yang cukup untuk melawan Covid 19 dan tidak munasabah dana tambahan diperlukan dalam tempoh tidak sampai 6 bulan di dalam tahun 2021.
“Pengumuman penggunaan wang ini memang amat mengecewakan dan menyerlahkan lagi kegagalan pentadbiran PN menangani Covid-19.
“Bukankah kerajaan PN dilengkapi dana Belanjawan 2021 yang melebihi RM300 bilion, terbesar dalam sejarah negara untuk menangani Covid 19?
“Bukankah RM3 bilion menurut Menteri Koordinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin sebagai mencukupi tetapi kini nampaknya tidak cukup.
“Dalam hal ini, bagi saya permasalahan utama bukan lagi terletak kepada jumlah peruntukan, tetapi kecekapan dan kebijaksanaan pemerintahan (menggunakan peruntukan),” katanya lagi.
Oleh itu, Shamsul menyarankan agar kerajaan PN amanah dalam menjaga dana KWAN. Katanya, dana yang ditubuhkan pada 18 Februari 1988 itu bermatlamat mengumpul hasil sumber asli negara dan melaburkannya untuk memperolehi pendapatan berterusan yang stabil demi faedah generasi akan datang, bukannya digunakan membeli vaksin.
Malah, tegas Shamsul, ketika krisis kewangan Asia pada 1998 dahulu pun dana tersebut tidak disentuh oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelematkan negara.