Dakwa YDPA sokong kompaun RM100 ribu, Takiyuddin ditempelak!

 


Dakwa YDPA sokong kompaun RM100 ribu, Takiyuddin ditempelak!

Bekas menteri Zaid Ibrahim mempertikaikan motif di sebalik kenyataan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempersetujui denda RM100,000 untuk penyebaran atau penghasilan berita palsu.

Zaid berkata walaupun semua ordinan dibuat ketika tempoh darurat memerlukan persetujuan Agong, tidak bermakna ia seiring dengan pandangan peribadi baginda.

“Sekali imbas, inilah yang ingin disampaikan oleh meteri undang-undang kita. Kalaulah ini tujuannya, ia satu tafsiran yang salah dan sengaja untuk mendapat sokongan rakyat terhadap apa yang terkandung dalam ordinan itu. Ini sangat berbahaya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Takiyuddin pada Jumaat lalu – iaitu hari sama undang-undang itu mula berkuat kuasa – berkata, persetujuan Agong itu bererti baginda mempersetujui kandungan ordinan berkenaan.

Susulan itu, Zaid berkata dalam sistem raja berpelembagaan, Agong bertindak atas nasihat Kabinet dalam melaksanakan tugas, manakala pandangan serta pendirian peribadi tidak menjadi penentu.

Zaid membayangkan komen berkenaan mungkin dibuat untuk memujuk mereka yang mengkritik undang-undang itu supaya berubah fikiran.

“Jika polisi dan peraturan tidak disokong rakyat malah dibenci, menteri tidak boleh mengatakan ia diluluskan Yang di-Pertuan Agong. Ahli politik tidak boleh berselindung dengan menggunakan Istana.

“Jika setiap kali Kabinet terpaksa menyebut nama Istana untuk mempertahankan dasar, maka Istana akan diheret ke kancah politik. Ini bukan lagi Raja Berpelembagaan. Ini boleh menjatuhkan martabat Raja-raja Melayu itu sendiri.”



No comments: