Pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu dua bekas pemimpin parti itu kembali aktif dalam politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kedua-dua mereka ialah bekas Naib Presiden parti, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Beberapa pemimpin akar umbi PKR yang ditemui berkata, kedua-dua tokoh muda itu mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing untuk membantu Pakatan Harapan menghadapi PRU15.
“Dua tokoh ini ada kelebihan, ada kebolehan, bersih dan wibawa. Kita perlukan tokoh-tokoh ini untuk kembali aktif dalam Keadilan dan inilah masa untuk menggembleng, kekuatan untuk kita nak lawan kerajaan ‘pintu belakang’ ni. Maka kita kembalikan ke arah usaha nak kembalikan kerajaan mandat rakyat, itu amat penting,” kata Ketua Cabang PKR Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.
Sementara itu, Ketua Ranting PKR Seksyen 8, Shah Alam, Monaliza Mohtar berpendapat bahawa kemenangan Pakatan Harapan sebelum ini sebenarnya adalah kerana ketajaman (strategi) Rafizi dan juga Nurul Izzah.
“Nurul Izzah memang terkenal sebagai Puteri Reformasi yang dididik baik oleh Kak Wan (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) sebagai Ibu Reformasi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Bapa Reformasi yang ingin membuat reform (perubahan) dalam negara kita.
“Rafizi juga anak didik daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang penuh dengan prinsip dan berkaliber sebagai pemimpin yang ada pengikut, serta boleh menerima corak perjuangan yang begitu ikhlas,” ujarnya.
Pada Ahad, Anwar berkata, PKR cuba memujuk dua pemimpin mudanya itu untuk kembali aktif ke pentas politik menjelang PRU15.
Malah, Anwar sendiri mengakui pemimpin berusia 44 dan 41 tahun itu masing-masing sebagai orang muda memiliki idealisme, baik dan berketokohan.
Pada 15 November 2019, Rafizi mengumumkan berehat daripada politik selepas bebas daripada hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).
Sementara itu, Izzah yang juga anak sulung Anwar meletakkan jawatan dalam parti pada 17 Disember 2018.