Mengapa ada ustaz tergamak memfitnah Anwar?
I S L A H M E D I A
Seorang Ustaz menyampaikan kuliah subuh mengolah kitab bahrul mazi berkaitan kejahatan. Dia berseloroh tentang tahap tingkatan kejahatan dengan memberikan contoh dengan menggunakan celupan bahasa Inggeris – jahat, jahater, jahatest. Katanya, Abrahah merupakan yang paling jahat kerana memimpin pengikut-pengikutnya untuk melakukan rancangan terkutuk iaitu ingin meruntuhkan Ka’bah. Begitu jahatnya Abrahah dengan pengikut-pengikutnya kerana sanggup berangkat dan meredah perjalanan yang jauh daripada Yaman hingga ke Makkah. Abrahah dan pembesar-pembesarnya menunggang gajah manakala tentera-tentera pengikutnya menjadi macai (istilah ustaz) setia dan rela berjalankaki sepanjang perjalanan.
Amat jelek manusia upahan yang tanpa maruah dan moral kekal meneruskan agenda jahat penuh dendam kesumat dan khianat.
Amat malang pula apabila pimpinan parti agama membuat fitnah jahat dan menjadi pencacai politik bankrap.
Anwar Ibrahim tidak pernah ada masalah dengan para alim ulama dan mufti-mufti semasa dia menjadi seorang pemimpin kerajaan terdahulu atau sekarang. Anwar tidak ada masalah dengan ulama’ mu’tabar dunia malah mereka sentiasa mendokong dan membelanya serta berhujah menyokongnya. Anwar tidak ada masalah dengan Ikhwan, Hamas atau kelompok pergerakan Islam mahupun PLO mana sekalipun, walaupun musuh-musuh cuba berkali-kali untuk mencemuhnya di mata para pejuang. Para pejuang Islam terutama Hamas dan Ikhwan lebih mengenali Anwar, mempercayainya dan mereka lebih mengenali gelagat konco-konco regim serta pengampu kerana mereka telah melalui fitnah yang sama.
Anwar tidak menimbulkan masalah dengan agama lain, bangsa lain, aliran lain dan berhubung mesra dengan ramai tokoh politik lain dalam ataupun di luar negara. Prinsipnya adalah dialog dan engagement. Dia mengambil pendekatan berkenalan dan bersahabat dengan semua orang. Dia mengambil pendirian inklusif menyantuni kepelbagaian bangsa dan budaya serta pandai menyesuaikan diri berdamping dengan rakyat. Dia berdialog dengan semua orang. Dia berdialog dan bersua muka membina rangkaian kenalan sejak zaman dia memimpin pergerakan belia lagi. Adakah mereka marah Anwar kerana dia berjaya berkomunikasi dan berinteraksi dengan semua pihak samada di negara atau antarabangsa, Muslim dan bukan Muslim?
Anwar berpegang kepada politik beridealisme. Inilah kata-katanya sendiri tentang pendiriannya:-
“I grew up in a time of great social transformation wherein the interplay of ideas and events coincided with student activism, religious revivalism and political turmoil. Not content to be a mere bystander, I chose to be an active participant instead. I emerged from all this convinced that while a life of contemplation and solitude can indeed be invigorating to the mind and the soul, a life of contemplation coupled with action and fraternity can be even more so. I have no regrets for the road not taken because the one that I took has led me to a challenging and fulfilling public life. And it is in this domain that I will continue to actively and fully participate in the realization of the higher ideals of life.”
“Saya dibesarkan pada zaman transformasi sosial hebat di mana berlaku cetusan ledakan idea-idea dan peristiwa-peristiwa berbetulan serta bertindan dengan aktivisme mahasiswa, kebangkitan agama dan pergolakan politik. Saya tidak rela berada selaku pemerhati sahaja, bahkan saya memilih untuk menjadi ahli yang berpartisipasi aktif. Saya muncul daripada semua ini dengan berkeyakinan bahawa sementara pilihan hidup secara bertafakur, berfikir dan bertapa menyendiri boleh menyegarkan dan melazatkan minda dan jiwa, tetapi hidup bertafakur digandingkan pula dengan gerak tindakan dan pupuk persaudaraan lebih memugarkan aktualisasi diri. Saya tidak menyesali jalan yang ditempohi kerana jejak laluan ini telah membawa saya mengalami dan menghayati kehidupan cukup mencabar dan penuh bermakna bagi saya. Dan di ruang lingkup inilah saya akan terus berperanan secara aktif dan menyertai dengan seutuhnya bagi merealisasikan cita-cita dan matlamat hidup yang lebih tinggi.”
Sebahagian mereka yang sanggup membuat tuduhan berat dan mengeluarkan kenyataan fitnah lebih mengenali Anwar Ibrahim tetapi dengan sombong dan sengaja melakukan kedurjanaan. Adakah mereka sudah lupa peribadinya yang terkenal mengamalkan ibadah solat sejak kecil, berpegang kepada ajaran Islam, memperjuangkan Islam sebagai ad din sejak bangku persekolahan dan mengasaskan pergerakan kebangkitan Islam negara? Adakah mereka lupa bahawa dia yang mengajar dan mendidik mereka, menyedarkan mereka dan menginspirasikan mereka untuk turut serta dalam gelombang kebangkitan baru Islam pada waktu mereka masih muda? Adakah mereka lupa bahawa inilah orang yang menjadi lambang setiakawan dan memberikan erti persahabatan dalam perjuangan? Adakah mereka tidak sedar kewibawaan Anwar mengartikulasi, merapatkan perbedaan dan membawa bersama aktivis dan ahli politik pelbagai kaum dan parti untuk bersama dalam satu pakatan moral – moral compact demi kesejahteraan dan keharmonian serta masa depan negara.
Memang berbaris dan bergilir malah berebut-rebut sekalian tukang ampu, pencacai, para pemberita pembawa naba fasiq dan pengaut pangkat dan laba, bersusun sesak dengan bermacam-macam idea dan makar bagaimana dan apa kata-kata nista dan celaan yang direka bagi mengutuk dan menginginkan supaya hancur lebur manusia bernama Anwar Ibrahim. Mereka mahu rakyat meragui keikhlasan dan idealisme perjuangan yang dibawa Anwar. Asalkan rakyat terutama orang Melayu ragu, matlamat mereka tercapai. Betapa bodoh sekalipun rekayasa dan tuduhan itu, asalkan Anwar diganyang. Matlamat kerdil dulu semata-mata bagi mengekalkan kuasa pemerintahan regim lama menghalalkan cara tak kira betapa korup dan fasad penaja dan penaung mereka. Bukankah nyata sekali ini kerja orang jahat?
Maka segala ajaran Islam tentang Iman, Islam dan Ihsan diketepikan begitu saja. Segala hukum syariah mereka langgar dengan membuat tuduhan melulu tanpa bukti dan tanpa bicara, tanpa pengadilan. Apabila jelas ada pimpinan pendokong dan batu api di belakang mereka terdiri daripada kleptokrat, korup, terdedah dengan bertimbunan selundupan di kediaman dan berakhlak rendah, mereka diam seribu bahasa. Mereka ada penyakit di dalam hati mereka.
Sebelum ini mereka cuba mematahkan kemaraan Anwar Ibrahim dengan menuduh dan menjadikannya penjenayah, malah mengurungnya di dalam penjara. Tidak cukup dengan itu, mereka cuba bunuh karakternya dengan cara yang amat aib dan paling hina dalam sejarah. Kemudian mereka cuba menanamkan keraguan umat kepada kefahaman agamanya. Semoga Allah swt melindungi kita daripada fitnah mereka!
Mereka mengambil kesempatan kebebasan yang ada, mempergunakan segala kelebaran akses media, siaran perdana dengan segala perlindungan dan penajaan. Ini mengingatkan kita semula kepada satu masa dahulu tentang angkara geng Datuk T dan cubaan gila video aib mereka, menyebar kejahatan secara berleluasa. Malah pegawai-pegawai bersubahat, mengaturkan sumpah palsu di masjid yang memalukan tanpa menghirau dosa atau tercalarnya moral, maruah dan syi’ar agama. Masjid menjadi saksi ketelanjuran politik keji. Modus operandi mereka sama saja walaupun kaedah cara kutukannya berbeda – ‘fitnah dan biarkan saja’ – asalkan tercalit keburukan kepada Anwar dan menghakis kepercayaan rakyat kepadanya.
Adalah jelas ini satu kejahatan yang besar. Matlamat mereka amat cetek sekali iaitu cuba menghalang dan menjadi satu lagi alat rintangan kemaraan seorang pemimpin yang masih mendapat tempat pada hati sanubari kebanyakan penduduk negara ini.
Selama 22 tahun lamanya, serangan demi serangan peribadi, fitnah, tuduhan, pendakwaan, di perbicaraan, di kaca TV, akhbar, di internet – mencela diri Anwar dan keluarganya, menggasak dan menggodam penyokongnya serta sahabat-sahabatnya dalam gerakan Islam, masyarakat sivil dan aktivis masyarakat. Betapa banyaknya saham kejahatan terkumpul oleh parti, regim, penyokong, pencacai, pemberita, penulis, ahli panel, pegawai, pengacara dan penganalisa, segala makhluk yang dikerahkan serta para pendengar dan pembaca yang setia. Istilah keji, terkutuk dan kata-kata paling nista telah diperkenalkan kepada masyarakat tak kira tua, muda dan kanak-kanak. Semua ini dilakukan secara tersusun, berterusan dan tanpa segan silu ataupun rasa bersalah selama 22 tahun dan ada yang masih berjalan lagi. Semua ini semata-mata untuk menyekat Anwar Ibrahim dan perjuangannya. Apabila dimuhasabah semula sudah tentu lebih banyak perkara yang bermanfaat dan menyelamatkan diri dan membina negara bangsa yang boleh dilakukan dengan segala sumber, jentera, tenaga dan masa yang terbuang dengan bergelumang angkara fitnah dan ini sudah pasti tidak akan boleh ditebus semula.
Barangkali mereka lupa siapa yang memulakan era menfitnah Anwar kerana mereka semacam mahu menjadi pewaris dan penyambung angkara bejat yang basi dan lama. Mereka pasti akan hampa dan kehampaan ini fatal jika tidak kembali ke pangkal jalan, kerana azab yang akan hinggapi dan melekat terpalit selama-lamanya.
Sahabat-sahabat sejati Anwar Ibrahim di dalam gerakan Islam, masyarakat sivil dan rakyat jelata telah lama kenal peribadi dan perjuangannya, tidak pernah meraguinya dan sentiasa menyokongnya. Prinsip yang dipegang adalah pada menegakkan kebenaran dan keadilan, prinsip Islam yang menolak kezaliman, kebatilan dan kepura-puraan. Inilah pengkalan yang selamat dan bahtera perjuangan Islam. Kawan-kawan yang telah isytihar meninggalkannya dan memilih pula untuk bersekongkol memfitnah juga tahu semua ini, namun mereka telah memilih jejak kelam dan mengambil jalan yang berpuaka seolah-olah tiada titik kembali ke pengkalan lagi.
Banyak lagi sekatan berat yang bakal menempuhi ahli politik idealis bernama Anwar Ibrahim. Apabila ditanya kenapa dia masih sanggup menjejaki jalan ranjau penuh penderitaan ini dengan segala mehnah dan fitnah, dia menjawab, dengan merujuk kepada ungkapan Islah mastata’tum – surah Hud:88 – “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.”
Apabila ditanya bagaimana dia mencari kekuatan dengan dugaan besar yang dihadapinya, dia merujuk kepada pesanan tok guru dan alim ulama supaya berpaut kepada ungkapan Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”) sebagai pengakuan atas ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya – thummas taqamu (kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka) (Surah al Fushshilat: 30)