“HORMAT DAN KASIH KEPADA TUN M TAK PERNAH PUDAR, TAPI PERJUANGAN BAHARU SAYA SUDAH BERMULA”

 

Pertama kali melangkah ke dalam dunia politik dengan serba keraguan dan ketidaktentuan nasib, insan ini berpesan mengingatkan saya bahawa politik ialah kerja-kerja membangun bangsa dan negara. Beliau juga ada beritahu, realiti politik adalah berbeza dengan segala teori yang saya ajarkan dan tuliskan lewat kehidupan akademik dahulu.

Saya berterima kasih kepada Tun kerana melantik saya sebagai Menteri Pendidikan walaupun dalam tempoh cuma 20 bulan, sebelum Tun meminta saya memulangkannya semula kepada Tun pada 3 Januari yang lalu.

20 bulan cukup membuka mata dan kesedaran saya, sehingga menumbuhkan tekad yang kuat di hati saya bahawa perjuangan pendidikan adalah satu kefardhuan. Fardhu ini tidak boleh berhenti, walau siapapun saya, dan dimana pun saya berada.

Ketidaksetujuan saya dalam halatuju politik ke hadapan tidak pernah mengurangkan rasa hormat dan kagum saya pada sosok besar negara ini. Jatuh bangun negara, dari padang pasir yang tandus sehingga tersergam menara berkembar tertinggi di dunia, sosok ini ada, memerhati dan merakam cermat sejarah jatuh-bangun anak bangsa.

Meskipun wadah dan fahaman politik kita berbeza, sentiasa ada sosok yang layak kita tumpahkan hormat kerana jasa besar mereka buat kita, buat negara, teramatlah banyak.

Sentiasa tak kurang maruah dan keperibadian kita, saat kita sentiasa menghormati sesiapa sahaja yang berbeda dengan kita dalam apa perkara sekalipun.

Doa saya buat Tun sentiasa terutus dan hubungan baik antara saya dan beliau juga akan terus terpelihara. Tak pernah ada kebencian, apalagi dendam dan amarah walau sekelumit.

Kepada Tun, saya ucapkan teruskan perjuangan.

Saya?

Perjuangan baharu saya sudahpun bermula. Tumpuan hakiki saya selain Simpang Renggam tentunya memulakan gerakan perubahan pendidikan berskala besar yang memungkinkan sesiapa sahaja untuk membuat perubahan.

Kerana saya percaya masa depan negara bergantung kepada pendidikan negara.

Rosak pendidikan, rosaklah masa depan.

Saya juga yakin kedudukan juga kuasa bukanlah penentu kepada keberlangsungan perubahan.

Tetapi percaya, iltizam, tekad dan kesempatan; semuanya bisa menukar harapan dan impian menjadi realiti.

Insya-Allah doakan!

#UntukMalaysia

DR. MASZLEE MALIK, AHLI PARLIMEN SIMPANG RENGGAM.



No comments: