Wakil Pemuda Bersatu (Armada) diperlakukan dengan layanan yang kurang menyenangkan pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN untuk pilihanraya kecil Slim, tengah hari tadi.
Hadirin yang terdiri daripada penyokong BN menyorak “boo” apabila Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menyebut parti itu yang sekarang berhasrat secara rasmi menyertai Muafakat Nasional, gabungan parti itu dan PAS.
Menambah layanan memalukan itu, apabila Zahid memberitahu Armada supaya membuktikan keupayaannya pada PRK ini.
“Pada PRK Chini dan Slim, ada Armada Bersatu (hadirin bersorak boo).
“Di Slim, buktikan bahawa mereka jujur dan ikhlas bersama kita,” katanya lagi.
Kata Zahid Hamidi, walaupun UMNO menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan PN tetapi menegaskan perlunya Bersatu menunjukkan keihlasannya.
Seterusnya, Zahid Hamidi mengingatkan Bersatu sekiranya parti itu gagal menarik 6,000 undi kepada BN pada PRK Slim, maka BN patut menyoal nilai kerjasamanya dengan Bersatu.
“Kalau tidak dapat 8,000 atau 6,000 undi, kita harus tanya, apa nilai perkongsian politik dengan mereka ini.
“Betul kita ada dalam kerajaan, tapi jangan jadikan kita sebagai melukut di tepi gantang.
“Kalau mahu berkongsi, berkongsikah dengan perkongsian benar. Kita tidak mahu ada agenda di sebalik tabir dan UMNO diguna sebagai batu loncatan.
“Jangan main-main dengan BN dan MN. Bila telah nampak cahaya di hujung terowong makin terang, saya tidak mahu mana-mana pihak, masih hidup atau masih mati, terhegeh-hegeh mahu bersama BN,” katanya.
Wowww….berlagaknya Presiden UMNO?
Belum apa-apa dan belum pun Bersatu menyertai MN, beliau sudah memberi arahan serta syarat macam-macam kepada jentera parti itu.
Ini baru PRK, bagaimana agaknya dalam PRU nanti?
Bagaimana pula dalam soal pembahagian kerusi?
Adakah dengan sikap seperti ini menunjukkan Zahid Hamidi sedia berbahagi kerusi dengan Bersatu?
Adakah Zahid Hamidi merasakan jika setelah Bersatu berada dalam MN nanti, Muhyiddin yang merupakan Perdana Menteri masih berada di bawah telunjuknya dan beliau boleh bertindak seperti membuli Bersatu?
Sekarang mungkin beliau dianggap ketua dalam MN, tetapi adakah setelah ada Bersatu, kedudukan itu akan terus kekal?
(Shahbudindotcom 15/08/2020)
(Shahbudindotcom 15/08/2020)