Usaha PH perkasa Mahkamah Syariah terlaksana di Perak

Usaha PH perkasa Mahkamah Syariah terlaksana di Perak



Usaha Pakatan Harapan untuk perkasa Mahkamah Syariah terlaksana di Negeri Perak apabila Mahkamah Utama Syariah Perak akan bersidang buat pertama kali sejak pengumuman penubuhannya dalam Dewan Undangan Negeri pada 5 Disember 2018.
Ini sekaligus menjadikan Perak sebagai satu-satunya negeri yang mewujudkan Mahkamah Utama Syariah, dan mempunyai empat lapisan mahkamah dalam sistem kehakiman syariah di negeri itu.
Penubuhan mahkamah itu pada awalnya dicadang Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Asmuni Awi ketika membentangkan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018 pada sidang DUN Negeri dua tahun lalu.
“Alhamdulillah, sejarah tercipta di Negeri Perak yang bertuah ini dan saya bersyukur kerana akhirnya Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak akan mula bersidang sejak pengumuman penubuhannya dalam DUN Perak 5 Disemver 2018.
“Sebagai Exco yang bertanggungjawab ketika itu maka ini merupakan detik yang paling bernilai dalam diri saya,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.
Terdahulu, cadangan enakmen bekenaan diluluskan Dewan selepas dibahaskan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri daripada kerajaan dan pembangkang.
Ketika itu Asmuni berkata, cadangan pindaan itu mengambil kira titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas pada 6 Ogos 2018.
Sidang pertama kali ini akan dibarisi panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Asa’ari Mohd Yazid, mantan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bagi mendengar permohonan kebenaran merayu melibatkan satu kes harta sepencarian
Memetik Bernama, Pengarah JKSM, Mohd Na’im berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk menubuhkan Mahkamah Utama Syariah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan terlebih dahulu, sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.
Naim berkata, setakat ini, bagi negeri-negeri lain hanya mempunyai tiga peringkat lapisan mahkamah, iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, dan Mahkamah Rayuan Syariah.

No comments: