Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 16 Julai 2020
Pertukaran kerajaan di Malaysia yang berlaku pada Februari 2020 melukakan hati oleh kerana beberapa sebab. Pertama, ia membatalkan mandat yang diberikan oleh pengundi kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. Ia juga merupakan ‘setback’ bagi demokrasi di negara ini kerana langkah reformasi yang dilakukan oleh kerajaan PH kemungkinan besar akan diabaikan atau bahkan diberhentikan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Secara peribadi, ia lebih menyakitkan apabila melihat bekas rakan sekerja yang berkempen bersama semasa PRU14 dan yang berdiri bersama kami untuk menentang kerajaan kleptokrat BN yang kini duduk di sebelah sana dengan beberapa orang yang mereka kritik dengan begitu hebat sebelum ini.
Mungkin ada yang kata bahawa mereka yang mengkhianati PH adalah ahli politik yang sebahagian besarnya menjaga kepentingan peribadi mereka sahaja. Kita masih boleh bergantung kepada orang bukan politik, teknokrat dan aktivis yang dilantik oleh kerajaan PH dan tidak dapat disingkirkan dengan begitu mudah oleh kerajaan PN. Begitulah yang kami fikirkan. Keputusan Azhar bin Azizan @ Harun, yang lebih dikenali sebagai Art Harun, untuk menerima pelantikan sebagai Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat adalah sesuatu yang mengejutkan ramai ahli Parlimen PH. Saya yakin bahawa ramai dalam kalangan sahabat Art juga terkejut dengan keputusan beliau. Izinkan saya menerangkan secara terperinci mengapa ramai antara kami terkejut dengan keputusan ini.
Pertama, Art, sebelum menerima pencalonan sebagai YDP Dewan Rakyat, menyandang jawatan yang sangat penting iaitu sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tanggungjawab Pengerusi SPR lebih penting lagi memandangkan kemungkinan besar pilihan raya umum dan juga pilihan raya negeri Sarawak akan berlaku dalam masa terdekat. Anggota SPR, yang termasuk pengerusi, tidak dapat disingkirkan dengan begitu mudah oleh kerajaan PN. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 114 (3) bahawa anggota SPR “tidak boleh dipecat dari jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti hakim Mahkamah Persekutuan”. Art tidak harus letak jawatan begitu sahaja apabila diminta oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia perlu ditegaskan bahawa sehingga kini, tiada anggota SPR yang lain yang telah mengumumkan peletakan jawatan mereka.
Perdana Menteri mungkin berpendapat bahawa dia memerlukan Pengerusi SPR yang lebih ‘patuh’ ketika menghadapi PRU15. Dia juga mungkin tahu bahawa tidak mudah untuk menggantikan Pengerusi SPR. Oleh itu, jawatan YDP Dewan Rakyat ditawarkan kepada Art untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi SPR.
Art tidak perlu menerima tawaran Perdana Menteri. Dia telah melaksanakan beberapa pembaharuan positif dalam SPR seperti membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) dilantik sebagai pemerhati pilihan raya semasa pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU14 dan membenarkan parti politik melantik Penolong Pendaftar sekali lagi untuk membantu pendaftaran pengundi. Masih banyak lagi pembaharuan yang perlu dilaksanakan oleh SPR termasuk memastikan pendaftaran pemilih secara automatik dan melaksanakan penurunan usia pengundian kepada 18 tahun. Dari sudut semak dan imbang (‘check and balance’) pentadbiran PN, Art dapat memainkan peranan yang lebih berkesan sebagai pengerusi SPR berbanding dengan YDP Dewan Rakyat.
Dengan menerima pencalonan untuk jawatan YDP Dewan Rakyat, Art telah membiarkan perkara berikut berlaku:
(i) Menunjukkan sokongannya, secara tidak langsung, kepada kerajaan PN kerana Ahli Parlimen PN yang menyokong usul untuk menggantikan YDP yang dipilih oleh kerajaan PH, iaitu Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff, dan menyokong usul untuk memilih Art sebagai YDP Dewan Rakyat yang baru.
(ii) Menunjukkan sokongannya, secara tidak langsung, terhadap proses penyingkiran Ariff sebagai YDP, yang tidak pernah terjadi sebelum ini dalam sejarah Parlimen Malaysia memandangkan Ariff tidak meletak jawatan atau melakukan apa-apa untuk melucutkan kelayakan dirinya untuk jawatan YDP.
(iii) Membolehkan seseorang yang kurang komited kepada proses reformasi pilihan raya untuk menjadi Pengerusi SPR yang baru.
Pembela Art Harun mungkin mengatakan bahawa beliau menerima pencalonan ini kerana dia boleh menjadi YDP Dewan Rakyat yang ‘lebih baik’ dan ‘lebih adil’ berbanding dengan orang lain yang mungkin dicadangkan oleh Perdana Menteri. Ini belum pasti. YDP yang baru terlambat meminta Ahli Parlimen dari Baling, yang terkenal mengeluarkan hujah yang seksis dan menghina di Parlimen, untuk mohon maaf dan menarik balik panggilannya terhadap Ahli Parlimen Batu Kawan sebagai ‘gelap’ dan memintanya untuk memakai ‘bedak’. Realitinya ialah Art diletakkan di jawatannya oleh kerajaan PN dan Ahli Parlimen PN dan dia tidak boleh terlalu menentang orang-orang yang memilihnya sebagai YDP. (Sekiranya PN boleh menggantikan Ariff tanpa apa-apa sebab, mereka juga boleh mengemukakan usul baru untuk menggantikan Art jika dia dilihat terlalu bebas dan tidak menyebelahi Ahli Parlimen PN) Tindakan pertama Art sebagai YDP untuk mengusir Ahli Parlimen Shah Alam mungkin menjadi tanda perkara yang akan datang.
Di samping itu, apa sahaja pembaharuan yang ingin dimulakan atau dilaksanakan oleh Art Harun di Dewan Rakyat akan dibendung oleh kerajaan PN dan pemimpin mereka. Memperkukuhkan Parlimen sebagai sebuah institusi yang berwibawa bukan sesuatu yang akan diberi tumpuan oleh kerajaan PN. Art bernasib baik jikalau beliau dapat mempertahankan pembaharuan yang diperkenalkan oleh mantan YDP dan yang disokong oleh kerajaan PH. Sangat mustahil untuk membayangkan pembaharuan Parlimen yang akan disokong oleh kerajaan PN.
Ia sangat memalukan dan mengecewakan apabila mendengar Art Harun mempertahankan aspek prosedur pelantikannya sebagai YDP Dewan Rakyat dalam sidang media pertamanya sebagai YDP. Art mengatakan bahawa tidak perlu undi diambil daripada kalangan ahli Parlimen ke atas usul pelantikan beliau kerana tidak ada calon lain yang dikemukakan. Alasannya adalah kerana hanya ada satu calon yang dicadangkan untuk menggantikan Ariff sebagai YDP Dewan Rakyat baru, maka tidak perlu ada undi. Pandangan ini tidak mengambil kira bahawa jawatan YDP Dewan Rakyat belum lagi dikosongkan ketika usul untuk mengemukakan Art Harun sebagai YDP baru diterbitkan. Tidak ada pemberitahuan 14 hari yang diberikan kepada ahli parlimen pembangkang untuk mengemukakan calon alternatif seperti mana dinyatakan dalam peraturan mesyuarat. Tafsiran peraturan mesyuarat yang ‘melengkung’ ini untuk mengesahkan pelantikan diri sendiri hanya menonjolkan ‘fiasco’ pelantikannya.
Pada masa ini, imej Art Harun sebagai aktivis reformis yang bebas telah dicemari oleh peletakan jawatan sebagai pengerusi SPR dan penerimaannya untuk dicalonkan dan kemudian dilantik sebagai YDP Dewan Rakyat yang baru untuk menggantikan Ariff. Saya tidak pasti apakah yang boleh dilakukan oleh beliau untuk memperbaiki kerosakan imej ini dan lebih penting, kerosakan institusi Parlimen di negara ini.
Secara peribadi, saya yakin bahawa kelukaan hati terhadap pengkhianatan akan reda selepas satu masa. Tetapi sementara itu, saya berharap ungkapan perasaan saya secara terbuka tidak akan dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar. Kisah pengkhianatan yang lebih buruk daripada tragedi Shakespeare terus berlanjutan dalam gelanggang politik Malaysia.