Politik hura-hara: Kita tahu siapa tembelangnya


Pada 

Oleh Howard Lee
(Ketua DAPSY Kebangsaan, Adun Pasir Pinji)
Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki bahawa anak muda di negara ini bosan dengan politik haru-biru serta perkauman dan agama sebenarnya amat tepat.
Hanya saya ingin bertanya kembali kepada Pemuda UMNO, bukankah pendirian Asyraf bagaikan talam bermuka dua, kepala yu berekor pari?
Sedap didengar pemuda UMNO menyatakan supaya mengembalikan nilai-nilai yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara yang harmoni. Malangnya selama ini, hakikatnya UMNO hanya mampu mempamerkan sikap bak kata pepatah telunjuk lurus kelingking berkait
Saya ingin bertanya kepada beliau berkenaan beberapa isu berikut:
Beliau sendiri pernah memfitnah pemimpin DAP, dengan dakwaan beliau anak saudara Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, dengan niat mengapai-apikan sentimen perkauman. Ini bukan politik perkauman dan huru-hara?
Beliau sendiri telah menggunakan fitnah berbaur perkauman berkenaan Isu Tabung Haji sewaktu pembangkang, dengan mengaitkan penjualan aset Tabung Haji dengan pertukaran pegawai kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang merupakan bukan Islam. Ini bukan politik perkauman dan huru-hara?
Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Pemuda UMNO bawah pimpinan beliau sendiri, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo pernah menjanjikan sekiranya ‘Penyatuan ummah’ berlaku, kerajaan akan cabut hak mengundi warganegara berketurunan India dan Cina. Ini bukan politik perkauman dan huru-hara?
Ahli Parlimen dari parti beliau, dari kawasan Baling baru-baru ini telah lontarkan kata-kata yang jelas menunjukkan sifat perkauman terhadap rakan sedewan beliau. Walaupun telah mohon maaf secara kata-kata, tetapi tetap mengulangi kata-kata melalui gambar di media sosialnya. Ini bukan politik mengundang huru-hara?
Pemimpin bawahan parti beliau, Azwanddin Hamzah terpaksa membuat permohonan maaf kepada pemimpin DAP kerana menuduhnya memakai “seragam komunis” sedangkan baju tersebut merupakan korporat “bush jacket” yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.
Ahli Majlis Kerja tertinggi parti beliau, Ahli Parlimen kawasan Pasir Salak telah membuat tohmahan liar, kesat dan perkauman berkenaan calitan abu di dahi ahli parlimen beragama hindu dengan menyamakan simbol keagamaan tersebut dengan calitan abu mayat Chin Peng. Ini bukan politik perkauman dan huru-hara?
Ahli Majlis Kerja tertinggi parti beliau, Ahli Parlimen kawasan Bera pernah menghasut warga keturunan Melayu untuk boikot kedai milik warganegara keturunan Cina, dengan merujuk kepada fitnah, iaitu tohmahan Old Town White Coffee dimiliki pemimpin anti Islam yang menghidangkan makanan yang diragui halal-haramnya. Ini bukan politik mengundang huru-hara?
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada beliau kerana dapat menangkap serba sedikit rintihan anak muda di bawah sini. Nasihat saya dan DAPSY kepada beliau ialah, jangan longgar sendat, lapang bertukul. Mengaku lah kesilapan-kesilapan lampau parti beliau.

No comments: