Kisah benci pada DAP…

Kisah benci pada DAP…
Bakul makanan daripada Adun Lukut bernilai RM100 (Gambar bawah). Gambar di atas adalah bakul makanan daripada JKM.



Ketika negara diperintah Pakatan Harapan (PH) nama salah satu parti komponennya iaitu DAP sering mendapat cemuhan dalam kalangan rakyat negara ini khususnya orang Melayu. Sikit-sikit salah DAP. Apa yang berlaku semuanya salah DAP.
Tambahan pula kebencian ini membuak-buak bila ada pihak yang cuba membangkitkan isu perkauman dan yang menjadi mangsa adalah DAP.
Ketaksuban orang Melayu kepada isu perkauman yang sengaja dibangkitkan tanpa fakta yang sahih hanya mahu menimbulkan kebencian kepada parti orang Cina itu.
Sehinggakan waktu itu Menteri Kewangan Lim Guang Eng melancarkan e-Wallet dengan memberi RM30 kepada setiap rakyat negara ini yang mendaftar e-wallet, ada pula yang memanipulasi usaha kerajaan itu. Ini tidak lain tidak bukan kerana sosok tubuh menteri berkenaan adalah DAP.
Apa yang yang melucukan ada pihak yang menyebar maklumat melalui kumpulan WhatApps mengatakan insentif e-Wallet itu adalah untuk kepentingan Lim Guang Eng dan DAP semata-mata.
“DAP nak ambil data-data kita melalui e-wallet bagi memberi undi DAP dalam PRU15 nanti, tak nak lah undi DAP nanti mereka perintah negara kita,” kata rakan yang berpangkat pencen dalam pasukan keselamatan kepada penulis.
Macam mana dia boleh fikir sedalam itu, pendaftaran e-Wallet bukannya memerlukan maklumat yang terperinci sebagaimana dalam daftar pemilih.
Beliau menunjukkan ketegasan begitu kuat apatah lagi maklumat yang beliau dapat daripada rakan-rakan dalam kalangan bekas pasukan keselamatan.
Kononya ia adalah maklumat sahih bukan propaganda. Nampak begitu menebal kebencian beliau terhadap DAP.
Hari ini, penulis agak terkejut apabila nada si kawan ini agak kendur dengan parti orang Cina yang pernah dicemuhnya sebelum ini.
“Alhamdulillah rezeki,” beritahunya kepada penulis apabila menerima bakul makanan yang bernilai RM100 daripada ADUN Lukut.
PRU14 lalu, kerusi Lukut dimenangi wakil rakyat daripada DAP, Choo Ken Hwa. Wakil rakyat DAP paling ramai dilantik sebagai Exco kerana parti itu menang 11 kerusi DUN pada PRU14, manakala PKR dan Amanah masing-masing menang enam dan tiga kerusi.
Beliau turut berkongsi gambar bakul makanan kepada penulis di dalam WhatApps. Banyak juga barang keperluan yang diperoleh beliau amat berbeza dengan bakul makanan daripada kerajaan PN.
Penulis menyifatkan beliau beruntung kerana dapat bakul makanan bernilai RM100 sedangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya memberi nilaian RM35 sahaja.
“Tidak apalah dapat yang JKM pun, janji dapat juga,” katanya bila penulis mempersoalkan nilai bakul makanan JKM.
Beliau bukan main menyanjungi ketelusan dan keprihatinan wakil rakyat DUN Lukut malah mengesahkan lagi wakil rakyat itu daripada DAP apabila penulis bertanya siapa wakil rakyat yang baik hati tersebut.
“Lukutkan DAP pegang,” katanya dengan meletakkan emoji gembira dan teruja.
Mungkin di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau langsung lupa nadanya kepada DAP sebelum ini, demi kelangsungan hidup ianya adalah rezeki walaupun benci.
Jangan benci sangat nanti lama-lama sayang.

No comments: