SYABAS BUAT ANWAR, SEPATUTNYA AZMIN JUGA MESTI SAMAN HAZIQ



Berikut adalah kenyataan media Presiden PKR, Anwar Ibrahim selepas Pejabat Peguam Negara membuat keputusan menutup kes dakwaan gangguan seksual yang dibuat terhadapnya oleh bekas kakitangannya, Mohamad Yusoff Rawther:-
Saya telah meneliti kenyataan Peguamcara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek hari ini.
Saya mengalu-alukan keputusan pihak Jabatan Peguam Negara tersebut serta saya turut ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih saya kepada pihak berkuasa atas profesionalisme yang ditonjolkan.
Meski dakwaan yang sah tidak boleh diketepikan dan harus disiasat sesuai dengan proses hukum, namun saya tidak dapat memaafkan tuduhan yang jelek, semberono dan yang menghina terhadap saya.
Untuk memastikan keadilan ditegakkan, tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini akan diteruskan.
ANWAR IBRAHIM
14 JANUARI 2020.
Pendirian Anwar meneruskan saman terhadap Yusoff atas keyakinan tuduhan yang dibuat terhadapnya adalah “jelek, semberono dan menghina” tentunya merupakan sesuatu yang harus dipuji.
Tindakan ini merupakan pengajaran bagi sesiapa juga agar jangan sesuka hati atau dengan mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak untuk membuat tuduhan tanpa asas kepada seseorang yang lain.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut dilepaskan daripada sebarang pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara berhubung dakwaan terlibat dalam hubungan seks sejenis sebagaimana yang terkandung dalam beberapa video yang telah tersebar luas melalui media sosial.
Haziq Abdullah Abdul Aziz, bekas Ketua AMK Santubong kemudiannya mengaku beliaulah lelaki dalam video tersebut serta mendakwa pasangannya dalam melakukan hubungan seks sejenis itu adalah Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Peguam Negara ketika mengumumkan perkara itu berkata, pendakwaan tidak dapat dilakukan berikutan video tersebut kabur dan pelakunya tidak dapat dikenalpasti kerana mempunyai resolusi yang rendah.
Tetapi, mengapa Azmin tidak menyaman Haziq kerana membuat tuduhan terhadapnya?
Walaupun Azmin dilaporkan bersyukur dengan keputusan Peguam Negara terhadapnya serta turut membuat kenduri kesyukuran di masjid, bukankah beliau juga sepatutnya membersihkan namanya dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq?
Kenapa Azmin tidak seberani Anwar? (ShahbudinHusin 15/01/2020)