BILA MAHATHIR MAHU UNDUR, NAMPAKNYA RAMAI YANG MENGGELUPUR.....


Semalam, Tun Mahathir Mohamad tanpa berselindung menyatakan kesediaannya untuk berundur dengan serta-merta jika itu yang dikehendaki oleh Majlis Presiden PH.

Kata beliau, kedudukannya adalah ditentukan oleh empat parti dalam PH dan beliau akur dengan apa jua ketetapan Majlis Presiden mengenai dirinya.

“Jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan berundur,” katanya.

Pendirian itu dinyatakan oleh Tun Mahathir di ketika desakan semakin kuat menderu agar beliau menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim pada Mei 2020 ini.

Dalam pada itu, rata-rata orangramai mengalu-alukan kenyataan Tun Mahathir mahu berundur itu kerana ia dianggap langkah terpuji olehnya bagi memastikan PH terus stabil dan tidak berpecah.

Kata mereka, memandangkan Tun Mahathir sudah berusia 94 tahun dan beliau pun menjadi Perdana Menteri untuk kali yang kedua, keinginannya untuk berundur itu adalah tindakan tepat ke arah memastikan peralihan kuasa kepada Anwar berjalan dengan aman, tertib serta teratur.

Begitu pun, tidak kurang yang melihat kesediaan mahu berundur itu kerana Tun Mahathir dikatakan akhirnya lebih memilih jalan damai dalam meniti sisa-sisa hujung usianya dan untuk memastikan nama serta legasinya terus terpelihara, disanjung dan dihormati selepas ketiadaannya nanti.

Siapa pun seseorang itu, lebih-lebih lagi bagi yang beragama Islam, memilih jalan yang membolehkan namanya lebih dihormati sebelum menemui detik kematian dan untuk meninggalkan nama yang baik adalah sesuatu yang normal dan biasa sebenarnya.

Seboleh mungkin, semenangnya semua orang mahu mengakhiri kehidupan masing-masing dalam zon kemaafan dan namanya boleh dikenang dengan baik oleh kawan-kawan, saudara-mara serta kenalan di sepanjang zaman.

Begitu juga dengan Tun Mahathir, beliau ketika ini boleh dianggap menghirup udara kehidupan dalam usia bonus tambahan yang jarang dinikmati oleh insan-insan lain.

Meskipun ajal maut di tangan Tuhan, mustahil dalam usianya sekarang Tun Mahathir lebih memilih jalan gaduh dan berkelahi, walhal jalan aman serta damai yang membolehkan nama, legasi dan keluarganya hidup sejahtera selepas ketiadaannya lebih terbentang luas untuk dijadikan pilihan.

Lantaran itu, bagi mereka yang normal, keinginan Tun Mahathir mahu berundur itu semestinya dipuji dan disokong kerana ia adalah pilihan terbaik bagi dirinya.

Bagaimanapun, sejak semalam, pendirian terbaru Tun Mahathir itu membuatkan segelintir pihak tertentu yang kebanyakannya merupakan pentaksub dan pengampunya tiba-tiba jadi menggelupur tak tentu hala.

Turut jadi resah dan tak keruan ialah daripada kalangan Bersatu sendiri yang seolah-olah berkehendakan Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri sampai mati.

Terdapat juga di kalangan mereka yang berlagak bagaikan pakar politik dan tak semena-mena menitipkan pelbagai idea serta keperluan untuk dilakukan oleh Tun Mahathir sebelum pengundurannya dengan harapan beliau sedia memikir semula keinginannya untuk berundur itu.

Semua mereka ini kelihatan tiba-tiba jadi panik, tak keruan, mengecam dan menyalahkan sana sini serta merasakan seperti dunia akan kiamat dengan ketiadaan Tun Mahathir di kerusi Perdana Menteri.

Sebenarnya inilah masalahnya bila terlalu taksub dan fanatik kepada batang tubuh seseorang, bukan kepada sesuatu perjuangan.

Seharusnya mereka sedar, yang lebih penting dipertahankan ialah perjuangan PH itu sendiri dan kedudukannya sebagai kerajaan berbanding menumpahkan ketaksuban kepada mana-mana individu.

Dalam konteks ini, keinginan terhadap Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir tidak sesekali disebabkan kerana taksub kepada batang tubuhnya, tetapi kerana perjuangan dan asas reformasi yang dinyalakannya sejak 1998 lagi.

Tanpa reformasi yang dimulakan oleh Anwar, perubahan kerajaan dan menumbangkan BN boleh dikata mustahil dapat dilakukan.

Lantaran itu, jangan taksub kepada Anwar, tetapi taksublah kepada asas perjuangan dan pengorbanan yang telah dibinanya.

Lagi pula, terlalu taksub kepada Tun Mahathir dan menolak Anwar sebagai pengganti Perdana Menteri selepasnya hanya akan memberi ruang semula kepada perpecahan PH, seterusnya membuka laluan kepada UMNO dan BN yang sudah kenyang selama 60 tahun dan kemudian lapar selama 5 tahun, untuk kembali semula melanun kuasa dalam PRU15 akan datang.

Meski Anwar sudah dinamakan sebagai pengganti Perdana Menteri dan jika beliau dapat lebih awal menduduki kerusi itu, yang penting di sini ialah kerajaan yang mentadbir negara masih lagi merupakan kerajaan PH yang didalamnya ada PKR, DAP, Amanah, Bersatu serta juga Warisan.

Atas semangat perkongsian kuasa PH, sebagaimana Tun Mahathir diterima sebagai Perdana Menteri, apakah bezanya menerima Anwar sebagai penggantinya, melainkan di dalam hati tersimpan daulah terpendam mahukan BN berkuasa semula? (ShahbudinHusin 15/01/2020)



No comments: