Pengundi Melayu terbuka kepada PH, peluang cerah
Walaupun ‘menceroboh’ kubu kuat Umno di Tanjung Piai, pemimpin Pakatan Harapan mula percaya sokongan terhadap parti ketuanan Melayu itu mula mencair.
Buktinya aktivis-aktivis PH diterima berkempen di kampung-kampung Melayu yang sebelum ini sangat sukar untuk ditembusi
Misalnya di kampung Melayu Serkat, tayangan skrin besar perlawanan final Piala Malaysia anjuran PH minggu lalu menarik lebih ramai golongan belia berbanding anjuran Barisan Nasional (BN) di kampung yang sama.
Di Andek Mori pula masyarakat Melayu membuka pintu rumah mereka kepada jurukempen PH yang berkunjung.
Penerimaan tidak sama sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang mana orang Melayu ‘menutup pintu rumah’ terhadap pembangkang.
Namun walaupun terdapat penerimaan terhadap PH, pemimpin mereka berkata masih sukar untuk menentukan pola sokongan kerana Umno mempunyai sejarah panjang di Johor dan PH perlukan jentera yang lebih kuat serta sokongan lebih mendalam dari dalam kalangan penduduk kampung.
Institut Daru Ehsan memberitahu The Malaysian Insight, PH perlu meningkatkan sokongan dari kalangan orang Melayu lebih 35% untuk berpeluang mempertahankan kerusi Tanjung Piai.
Pada PRU14, PH hanya mendapat 32% undi Melayu, yang mana secara kolektifnya menjadikan 57% pengundi di Tanjung Piai. Manakala BN pula meraih 57% undi Melayu.
“Kita perlu meningkatkan undi dalam kalangan orang Melayu untuk menyeimbangkan kemungkinan kehilangan sokongan daripada pengundi Cina,” kata Darwis Salleh, yang merupakan pemimpin PH yang bertanggungjawab terhadap Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Nenas Timor.
Terdapat 27 PDM di Tanjung Piai dan 16 daripadanya adalah kawasan majoriti Melayu, kebanyakan mereka di kawasan DUN Kukup. Kukup dan Pekan Nenas merupakan dua kawasan DUN di Tanjung Piai.
PDM Serkat dan Andeok Mori masing-masing mempunyai 1,516 dan 1,592 pengundi, terdiri daripada 80% dan 90% Melayu, kata pegawai Pakatan. Kawasan lain seperti Peradin, yang mempunyai 688 pengundi, hampir tiada pengundi Melayu.
Namun ahli politik veteran seperti Azmi Abdul Moin masih bimbang dengan peluang PH untuk meningkatkan sokongan orang Melayu.
“Kami bertemu penduduk dan mereka bersikap terbuka terhadap kami. Namun pada akhirnya kita tidak tahu mereka akan undi siapa,” katanya yang bertanggungjawab ke atas PDM Peradin.
Seorang lagi pemimpin PH, Hasni Bachok berkata beliau peraya keterbukaan ini adalah kerana masyarakat luar bandar telah menerima bahawa PH merupakan kerajaan di kedua-dua DUN dan Parlimen.
“Jadi mereka berminat dengan apa yang akan kami katakan namun sama ada mereka akan undi kita, itu perkara lain,” kata Hasni yang merupakan ketua PDM Andek Mori.
“Tapi sekurang-kurangnya kami ada peluang untuk bercakap dengan mereka berbanding sebelum ini.”