Syukur harga sawit: Karmaine selar taktik jahat pembangkang
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Karmaine Sardini menempelak tindakan jahat pembangkang yang cuba memutar belit kenyataannya.
Tegas Karmaine, pembangkang memutar belit kenyataannya bagi mengambarkan dirinya seolah-olah tidak mahu memperjuangkan nasib pekebun kelapa sawit di Tanjung Piai.
Ia tegasnya dijadikan bahan kempen kotor, selain bertujuan menghasut pengundi.
“Saya tidak cakap pun pekebun sawit tidak bersyukur dengan harga sawit ketika ini, saya cakap walau banyak mana pun kita dapat, kita harus bersyukur.
“Saya tidak rasa kenyataan itu mengguris hati pekebun kecil di sini kerana memang kita harus bersyukur dengan rezeki diperoleh,” katanya dipetik.
Karmaine ditemui selepas hadir ke Majlis Apresiasi Pra-sekolah Zon Kukup.
Barisan Nasional (BN) didakwa menggunakan isu kejatuhan harga kelapa sawit sebagai modal utama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, selain mendakwa kerajaan tidak mengambil serius soal harga komoditi itu.
Sebuah akaun Facebook baru-baru memuat naik video ceramah Karmaine malam tadi berdurasi seminit 18 saat, antara lain mendakwa calon HARAPAN itu tidak akan memperjuangkan nasib pekebun sawit.
Karmaine berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan terus menjadi suara masyarakat Melayu termasuk di Tanjung Piai.
“Kenapa UMNO nak pertikaikan BERSATU boleh jadi suara orang Melayu atau tidak, dia pun tidak mampu merebut kerusi Parlimen ini dengan MCA, macam mana nak jaga Melayu,” tegasnya..