TIGA PILIHAN BUAT GENG KARTEL


Pendirian Anwar Ibrahim dalam menangani tindakan sesetegah pemimpin PKR yang tidak hadir mesyuarat sejak sekian lama yang kemudian disusuli dengan sebahagiannya menunjukkan perangai mengada-ngada, nampaknya cukup jelas dan tidak sukar lagi difahami.
Hasrat mereka untuk mengadakan pertemuan secara berasingan dengannya tidak mendapat layanan sama sekali daripada Anwar.
Kepada Azmin Ali yang dilaporkan telah tidak hadir mesyuarat PKR sejak menang jawatan Timbalan Presiden PKR pada November tahun lalu, pesan Anwar hanya satu – hadirlah mesyuarat.
“Saya dah nasihat, mesti hadir mesyuarat,” kata Anwar.
Kepada Zuraidah Kamaruddin, Naib Presiden PKR yang diberitakan telah menulis tiga pucuk surat kepada Anwar untuk mengadakan “mesyuarat perdamaian” secara berasingan setelah berkali-kali tidak hadir mesyuarat dan bermulut celupar di media, juga tidak mendapat layanan daripada Presiden PKR itu.
“Isu ini titik bengik, saya tak mahu bincang di sini. Datang saja mesyuarat, kita bincang,” demikian penegasan Anwar.
Kesimpulannya, sebagai Presiden PKR dan bakal Perdana Menteri, Anwar telah menunjukkan ketegasan yang seharusnya diberikan pujian.
Dalam berorganisasi, ada peraturannya dan semua orang hendaklah patuh kepada ketetapan untuk menghadiri mesyuarat yang diadakan sama mesyuarat MPP atau mesyuarat Biro Politik.
Dalam hal ini, kepada Azmin, Zuraidah atau mana-mana geng kartel yang masih mahu menunjukkan keras kepala, hanya ada tiga pilihan buat mereka.
Pertama, patuh kepada peraturan parti, akur dengan kepimpinan Anwar sebagai Presiden PKR dan hendaklah hadir mesyuarat mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan.
Sesekali tidak hadir mungkin boleh diterima, tetapi kalau sudah berkali-kali atau sejak lapan bulan lamanya tanpa alasan yang munasabah, memanglah nampak pelik kelihatannya.
Begitu juga jika alasan kononnya sibuk dengan urusan kerajaan.
Apakah hanya dia saja yang sibuk dengan urusan kerajaan?
Kenapa PM dan TPM yang lebih sibuk boleh pula hadir mesyuarat?
Tiada alasan lagi buat mereka, melainkan mesti, mesti dan mesti hadir mesyuarat jika mahu terus bersama PKR.
Kedua, jika tidak mahu hadir mesyuarat yang tindakan itu boleh difahami sebagai isyarat tidak lagi berminat terhadap PKR serta enggan akur kepada kepimpinan Anwar, maka silalah undur diri dan letak semua jawatan yang ada.
Jadilah ahli biasa PKR saja dan biarlah parti ini diuruskan oleh mereka yang benar-benar berminat dan komited dalam menghadiri mesyuarat.
Ketiga, pilihan seterusnya dan terbaik ialah tinggal dan keluarlah daripada PKR ini jika masih mahu menunjukkan kedegilan dan seolah-olah ada “boss” lain di hati masing-masing.
Apa guna berada dalam parti jika hati tidak ada bersama?
Setelah meninggalkan PKR, mereka bolehlah memilih untuk menyertai mana-mana parti lain yang dirasakan lebih sesuai serta cocok dengan jiwa masing-masing.
Tetapi, satu perkara haruslah diingat, menyertai mana-mana parti pun mereka tetap kena hadir mesyuarat juga. (Shahbudindotcom 04/09/2019)


No comments: