Berlapang dadalah Khaled, akui sahaja kerajaan PH lebih baik dari UMNO-BN



Saya merujuk laporan oleh Malaysiakini bertajuk “Just retire YB, Khaled tells Kit Siang” di mana Datuk Seri Khaled Nordin yang juga naib presiden ketiga UMNO dikatakan telah menasihati Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang untuk bersara berdasarkan hujah bahawa ‘Malaysia Baharu’ hanya sekadar suatu retorik.

Saya menyifatkan pandangan Khaled sebagai sangat selektif sekali. Beliau lebih gemar mencari kelemahan dan ‘menjualnya’ sebagai publisiti murahan berbanding tampil memberi pandangan untuk membantu menyelesaikan ‘bala’ yang diwariskan oleh kerajaan BN yang sedang membelenggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak memerintah 15 bulan yang lalu. Ya 15 bulan lalu, bukan 15 tahun.

Beliau juga enggan melihat prinsip dasar dalam kerangka lebih besar, yang ingin diperkenalkan oleh PH dalam konteks mengeluarkan Malaysia dari kleptokrasi tinggalan UMNO. Dalam siri-siri serangan beliau, beliau begitu ghairah. Sebaliknya Khaled enggan menerima fakta dan hakikat bahawa pelbagai perkembangan yang memberansangkan telah dilakukan oleh kerajaan PH. 

Sebagai contoh, Khaled enggan menerima hakikat bahawa kos projek ECRL telah dapat dijimatkan sebanyak RM25.1 billion hasil rundingan semula kerajaan PH dengan pihak China.

Khaled juga enggan menyebut, apatah lagi bersyukur bila mana kos projek MRT2 dapat menjimatkan wang rakyat sebanyak RM8.8 billion. Khaled juga tak mahu menyebut bahawa kos projek LRT3 juga berjaya dijimatkan oleh kerajaan PH sebanyak RM15 billion.

Dalam semua perkembangan ini, Khaled juga enggan menerima hakikat bahawa laporan jumlah hutang yang ditanggung oleh kerajaan PH yang diwariskan oleh UMNO itu jauh lebih besar dari yang dijangkakan.

Semua fakta-fakta ini tidak ada nilai bagi seorang pemimpin seperti Khaled. Beliau lebih ghairah melihat dari dalam tempurung, seolah-olah PH ini terlalu naif untuk mentadbir. Selektif sekali pemikiran Khaled. Kasihan.

Senarai kebobrokan UMNO

Jika saya ingin senaraikan pula kebobrokkan kerajaan UMNO-BN, pasti saya akan dituduh cuba mengungkit kisah silam yang penuh gelap dan menyedihkan itu. 

Namun, jika kita senaraikan nama-nama yang sedang beratur dengan kes-kes di mahkamah akibat skandal-skandal yang dilakukan, pasti ia dapat membuka mata Khaled dan ahli-ahli parti beliau bagaimana segala bala yang ditanggung oleh kerajaan PH dan rakyat pada hari ini adalah dari dasar yang tempang tajaan pemimpin UMNO-BN.

Berdasarkan senarai nama para pemimpin UMNO, dari mantan presiden, isteri mantan presiden, presiden, ahli Majlis Tertinggi, semua ini telah membawa bahana kepada rakyat termasuk faktor yang menyebabkan kekalahan Khaled sendiri. Sedarkah beliau?

Justeru, mengapa Khaled tidak sanggup untuk memberi nasihat agar pemimpin-pemimpin UMNO ini bersara dari politik? Sebaliknya, mengapa pula Lim Kit Siang dinasihat untuk bersara? Apakah skandal yang Kit Siang telah lakukan? Boleh Khaled senaraikan?

Saya fikir, Khaled harus berlapang dada dan cuba menerima hakikat bahawa usaha-usaha kerajaan PH hari ini sedang berjalan, malah antara perkara yang beliau sepatutnya tumpang bangga dan bersyukur adalah apabila parlimen meluluskan RUU 668 untuk membolehkan anak-anak muda bukan sahaja dapat menjadi pengundi seawal usia 18 tahun, malah menjadi pengundi berdaftar secara automatik. Tak perlu susah-susah lagi semacam zaman Khaled dulu.

Bukan itu sahaja, malah anak-anak muda kini boleh menjadi calon bagi memimpin parti dan rakyat. Mereka inilah yang akan menggantikan pemimpin-pemimpin haprak UMNO yang lain.

Ini satu perkara paling asas dalam demokrasi yang tidak pernah mampu dibuat oleh UMNO sejak 62 tahun memerintah negara, saya ulangi – 62 tahun, bukan 15 bulan. 

Berlaku adil kepada diri sendiri

Bayangkanlah Khaled, mengapa benda paling asas ini pun kalian dan rakan-rakan ketika berkuasa, gagal menunaikannya. Kemudian, dituduh pula kerajaan PH hanya retorik. Retorik apa Datuk Seri?

Jika Khaled menuduh kerajaan PH sekadar beretorik, sedarkah beliau bahawa semua projek-projek kerajaan hari ini menggunakan dasar tender terbuka? Apakah ini bukan rangka asas ‘good governance’?

Sedarkah Khaled bahawa kerajaan PH telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai pencegahan rasuah? Kita juga telah melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 -2023.

Selain daripada itu, kita juga sudah memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Perkhidmatan Awam. Kita turut menubuhkan Pusat Governan, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Malah, kerajaan PH juga telah melaksanakan dasar Pengisytiharan harta oleh anggota Kabinet dan ahli Parlimen PH. 

Sekarang, tidak ada lagi pengeluaran surat sokongan untuk projek dan kontrak. Termasuk memperkasakan Parlimen dengan menubuhkan enam jawatankuasa terpilih (select committees) malah Jawatankuasa Kira-kira wang Negara itu dipengerusikan oleh ahli dari parti Datuk Seri Khaled sendiri. Sedar atau tidak?

Justeru, ada baiknya Khaled berlaku adil kepada diri dan parti beliau sendiri. Itu sahaja nasihat kecil daripada saya insan kerdil ini. Saya tak minta pun Datuk Seri Khaled bersara. 

*Tulisan ini pertama kali disiarkan di Malaysiakini
*Sheikh ‘Umar Bagharib Ali adalah Ketua DAPSY Johor, Adun Paloh merangkap pengerusi jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.