Hubungan Malaysia – China berkembang di era PH
Duta khas ke Republik Rakyat China, Tan Kok Wai berkata meskipun sebelum ini hubungan Malaysia dan China tegang akibat semakan semula terhadap projek mega yang membabitkan negara itu seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia, tindakan Beijing yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat akhirnya telah menjernihkan keadaan.
Menurut Tan, banyak isu yang menyebabkan China tidak berpuas hati terhadap Malaysia berpunca daripada salah faham kedua-dua belah pihak dan kenyataan-kenyataan yang tular di media sosial.
Beliau memberi contoh, sebelum ini Dr Mahathir pernah mengkritik projek dibiayai China seperti Forest City di Johor dan Taman Perindustrian Malaysia-China di Pahang kerana salah faham sewaktu masih menjadi pembangkang.
Tan berkata, kenyataan-kenyataan yang keluar pada ketika itu menyebabkan kemarahan warga China.
“Ia tersebar di media sosial. China tidak suka dan mereka merungut tentang kita. Namun, kerajaan China bersikap sangat memahami terhadap kerajaan Malaysia.
“Pada mulanya kita perlu beri banyak penjelasan. Kita perlu berbincang pelbagai faktor dengan China. Bukan mudah meyakinkan mereka. Salah satu alasan kita beri ialah kita ada duta khas ke China menunjukkan kita meraikan China,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Menurut Tan lagi, kehadiran Dr Mahathir pada sidang kemuncak inisiatif Jalur dan Laluan di Beijing pada April lalu, membantu mengesahkan sokongan Malaysia kepada pembangunan infrastruktur China di seluruh dunia.
“China tahu Malaysia negara pertama yang membina hubungan diplomatik dengannya. Kedudukan geografi Asia Tenggara strategik, sama ada daripada segi infrastruktur, terminal, lapangan terbang, jalan, ekonomi. Undang-undang dan struktur cukai di sini juga kondusif.
Tahun ini ulang tahun ke-45 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, kata Tan.
Malaysia di bawah perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein menubuhkan hubungan diplomatik dengan China pada 1974.
Tan berkata sejak itu, kedua-dua negara menjalinkan hubungan yang sihat. Ramai warga China bekerja di Malaysia juga berasa selesa di sini kerana mereka biasa dengan makanan dan bahasa yang digunakan.
Katanya, pemimpin China juga banyak berbincang pelbagai perkara dengan Dr Mahathir.
Tan berkata Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin tertinggi China iaitu Presiden Xi Jinping, Perdana Menteri Li Keqiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat China Li Zhanshu, ketika mengadakan lawatan rasmi pertama ke China pada Ogos tahun lalu.
“Walaupun pegawai mengingatkan mereka yang masa sudah tamat, mereka tetap berunding dan berbincang,” katanya.
Tan berkata, beliau percaya sebarang tanggapan negatif yang Dr Mahathir fikirkan tentang China dan inisiatif Jalur dan Laluan, kini berubah.
“Ya. Persepsi Dr Mahathir sudah berubah. Sebelum ini beliau tidak faham Jalur dan Laluan. Dengan lawatan ke China baru-baru ini, Dr Mahathir kini faham tentang projek itu.”
Malah katanya, Dr Mahathir diberikan tempat duduk di sidang kemuncak itu untuk mewakili Asean, menunjukkan betapa Malaysia dihargai dan dihormati oleh China.