Membaca kenyataan Nik Amar sebagai menyokong dan wala' kepada gurunya Hadi Awang yang menyatakan sokongan kepada Tun M untuk terus memimpin Malaysia sehingga PRU15, ianya membuktikan bahawa selama ini Pas menipu rakyat.
Bukankah sebelum ini, Pas dengan lantang menyatakan negara ini akan rosak binasa sekiranya Tun M menjadi PM semula? Bukankah Hadi dengan sombongnya menyatakan Tun M hanya layak sebagai doktor di Klinik 1 Malaysia? Bukankah parti ini juga pernah menyatakan jika Tun M menjadi PM, kediktatoran Tun M di zaman beliau menjadi PM ke 4 dahulu bakal diulangi semula?
Itulah di antara kata-kata Pas kepada rakyat sebelum PRU14 dahulu agar rakyat menolak PH kerana PH telah berjanji untuk menabalkan Tun M sebagai PM sekiranya PH berjaya ke Putrajaya. Alhamdulillah, PH telah menjadi kerajaan kerana rakyat tidak percaya kepada propaganda para lebai tersebut. Rakyat memilih PH kerana percaya Tun M mampu mentadbir negara ini lebih baik dari di era beliau menjadi PM ke 4 dahulu sementara menanti giliran Anwar untuk menjadi PM selepasnya. Itu adalah pilihan rakyat dan Pas kena terima hakikat bahawa pembohongannya ditolak mentah-mentah oleh rakyat yang bijak.
Apabila menyedari bahawa usahanya untuk menipu rakyat gagal, Pas tiada pilihan lain maka terpaksa akui Tun M memang seorang tokoh yang jauh lebih hebat dari Najib, apatah lagi Hadi Awang. Apabila hilang punca kerana semuanya tidak menjadi, tanpa segan silu Pas terpaksa menjilat ludahnya kembali. Pada Pas, selagi Tun M menjadi PM amat sukar untuk Pas menentang PH, dan pengganti Tun M pula adalah tokoh yang lebih hebat kerana tokoh ini adalah tokoh yang pernah diangkat untuk menjadi calon PM oleh Presiden Pas dahulu iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Noor sewaktu Pas bersama Barisan Alternatif. Adakah Almarhum Ustaz Fadzil Noor tidak tahu menilai seseorang yang mahu diangkat untuk menjadi PM?
Nampaknya Pas kini terperangkap di antara kehebatan dua tokoh ini sedangkan Pas sendiri tidak mampu menawarkan mana-mana calon untuk menjadi PM dari partinya. Pas terpaksa bersama Umno yang telah menerima Najib untuk menjadi Penasihat parti Umno dan Zahid sebagai Presiden Umno. Itulah tokoh yang mereka ada untuk ditawarkan kepada rakyat di dalam PRU15 nanti.
Apakah rakyat akan memilih Najib atau Zahid semula? Apakah Pas masih tercari-cari siapakah calon dari partinya untuk disorongkan sebagai bakal PM? Adakah Hadi Awang yang hanya menjadi MB Terengganu sepenggal itu layak dijadikan calon PM? Ini satu masalah bagi Pas sehingga terpaksa menelan semula kutukan mereka terhadap Tun M gara-gara takut akan kemunculan Anwar Ibrahim.
WFAUZDIN NS