PH WAJIB BUAT KETETAPAN TOLAK SOKONGAN PEMBANGKANG YANG MAHU MAHATHIR BERKHIDMAT LEBIH LAMA




Kebelakangan ini terdapat kecenderungan yang kian ketara daripada pelbagai pihak dalam pembangkang untuk memberi sokongan kepada Tun Mahathir Mohamad agar meneruskan khidmat sebagai Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal.

Pas adalah antara yang tidak henti-henti berbuat demikian, sedangkan sebelum PRU14 lalu merekalah yang paling kuat menghina, mencemuh dan memperlekehkan Tun Mahathir.

Antara cemuhan, perlekehan dan penghinaan Pas kepada Tun Mahathir ialah dengan mengatakan beliau sudah nyanyuk, pemimpin kitar semula, seharusnya lebih banyak duduk di atas sejadah serta hanya layak menjadi doktor di klinik 1Malaysia.

Namun, sebaik PH menang PRU14 dan Najib Razak yang diidolakannya sudah hilang kuasa, Pas segera berubah nada dengan tanpa malu-malu memberi sokongan agar Tun Mahathir terus menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal iaitu sampai ke tahun 2023.

Sedarkah Pas ketika itu Tun Mahathir sudah berusia 98 tahun?

Tindakan Pas memberi sokongan kepada Tun Mahathir itu sebenarnya tidak lebih umpama menghadiahkan sebotol madu yang telah dicampur dengan racun berbisa.

Pas kini secara rasmi sudah mengikat kerjasama dengan UMNO untuk menghadapi PH dalam PRU15 akan datang.

Kedua-dua parti bukan saja mula berkempen bersama, malah sedang merangka piagam dan pembahagian kerusi untuk merealisasikan kerjasama itu.

Pokoknya, Pas melalui kerjasama dengan UMNO adalah bertujuan untuk mengalahkan PH agar parti Islam caca-marba campur dengan parti assabiyah itu pula dapat mentadbir negara selepas ini.

Boleh jadi jika Najib Razak tidak masuk penjara menjelang PRU15 akan datang, Pas akan terus memberi sokongan semula kepada bekas Perdana Menteri itu untuk menjejaki langkah Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Untuk mencapai hasrat itu, Pas tentu saja kena menghadiahkan madu beracun kepada Tun Mahathir dengan harapan agar janji peralihan kuasa kepada Anwar tidak ditunaikan dan seterusnya menyebabkan PH bergolak, malah mungkin berpecah.

Hanya dengan berlakunya perpecahan PH sajalah peluang terbuka untuk gabungan Pas dan UMNO memenangi pilihanraya seterusnya.

Sebaliknya, jika peralihan kuasa kepada Anwar berjalan dengan teratur sebagaimana yang sudah dijanjikan, peluang mereka untuk menang PRU15 akan datang akan bertukar menjadi senipis kulit bawang saja.

Ini kerana dengan peralihan kuasa yang teratur akan membuatkan PH terus berpadu, selain imej Islamik Anwar dalam mentadbir negara dengan sendirinya akan membuat pendekatan Islam caca-marba yang dibawa oleh Pas tidak lagi relevan di mata pengundi.

Yang peliknya, ada pula pihak dalam PH sendiri - setakat ini Azmin Ali - yang tampil memberi sokongan terhadap hadiah madu beracun Pas kepada Tun Mahathir itu.

Alahai, naifnya Timbalan Presiden PKR ini. Hanya kerana beliau sedang bergelut untuk menyelamatkan diri daripada skandal video seks sejenis yang sudah tersebar luas serta amat-amat berharap Tun Mahathir dapat menyelamatkannya daripada pendakwaan di mahkamah atas perlakuan perbuatan menyalahi undang-undang, sanggup akhirnya bersekongkol dengan pembangkang.

Apakah Azmin sedar tindakannya memberi sokongan kepada cadangan Pas itu adalah suatu pengkhianatan kepada PH?

Apakah Azmin bukan saja tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8, tetapi sebenarnya juga mahu gabungan Pas dan UMNO memenangi pilihanraya akan datang?

Untuk itu, sebelum pelbagai pihak lain dalam pembangkang satu demi satu tampil mahu menghadiahkan madu beracun yang sama, Majlis Presiden PH seharusnya segera membuat ketetapan menolak sokongan daripada pembangkang kepada Tun Mahathir.

Sokongan pembangkang 100% tidak ikhlas. Mereka adalah musuh kepada PH. Sokongan mereka hanya untuk menjadikan PH berpecah dan seterusnya lemah serta membolehkan mereka mengambil alih kerajaan.

Lagi pula, sokongan sedia ada dalam PH sudah memadai untuk kerajaan ini berjalan dengan baik tanpa ancaman.

Sesuai dengan Tun Mahathir sekali lagi mengulangi janji akan tetap melakukan penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar di pertengahan penggal - meskipun setakat ini tiada tarikh ditetapkan - Majlis Presiden PH seharusnya sekali lagi juga mesti memperakui ikrar beliau itu sambil membuat ketetapan menolak sebarang sokongan daripada pembangkang yang mahu Perdana Menteri berkhidmat dengan lebih lama.

Tun Mahathir sudah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun di bawah BN  sebelum ini dan tempoh dua tahun untuk beliau menjadi Perdana Menteri di bawah PH adalah cukup memadai.

Jangan kita menjadi rakyat yang tidak bertimbangrasa dan mahu menderanya untuk bekerja dengan lebih lama atau sehingga beliau berumur 98 tahun usianya. (Shahbudindotcom 01/08/2019)

No comments: