RAPATKAN SAF, KEMBALI BETULKAN TEKAD PERUBAHAN – ANWAR


PERUTUSAN KHAS ULANGTAHUN PERTAMA PENTADBIRAN PAKATAN HARAPAN
Alhamdulillah, hari ini adalah ulangtahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan dan juga ulangtahun pertama negara ini berjaya menundukkan kebobrokan, kebejatan dan keangkuhan.
Dengan berkat dukungan dan sokongan rakyat berbilang kaum dan agama akhirnya memungkinkan peralihan kuasa yang aman dan demokratik.
Tentunya mencapai kemenangan yang kita nikmati hari ini tidak mudah, dan ia bertitik tolak dari kesedaran dan pengorbanan mereka yang benar-benar mendambakan perubahan dan reformasi yang bermakna sejak 20 tahun lampau.
Banyak air mata dan keringat yang dilaburkan untuk memungkinkan ledakan kuasa rakyat tanggal 9 Mei 2018.
Justeru, jika ditelaah semula pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh pentadbiran hari ini, ternyata ia suatu pencapaian yang belum pernah terjadi dalam sejarah negara dan tidak dinafikan juga masih banyak lagi yang perlu dilunaskan dan diselenggara supaya negara ini akan kembali dihormati dunia.
Namun usaha dan upaya Pakatan Harapan dalam menggagas reformasi juga harus dimaknai dengan dasar-dasar ekonomi yang mengangkat dan membebaskan masyarakat.
Tekad dan iltizam politik juga harus diselaraskan agar ia benar-benar memberi dampak yang menyeluruh agar kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang kaya dan berpangkat sahaja, malah ia mesti mengesankan mereka yang menderita, terpinggir dan melarat.
Harus diingatkan juga bahawa masalah hubungan antara kaum dan agama di negara ini dilihat semakin meruncing tatkala Pakatan Harapan sedang menjelmakan perubahan dan reformasi yang didambakan.
Ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang enteng dan dikesampingkan, malah jika dibiar ia mampu meroboh segala usaha dalam meletakkan negara ini kembali ke landasannya.
Saya secara peribadi ingin menyatakan penghargaan buat Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menggembeleng seluruh tenaga dan pihak dari kalangan pembangkang ketika itu dalam usaha merubah lanskap politik negara ke tahap yang kita kecapi hari ini.
Justeru marilah bersama-sama kita merapatkan saf dan kembali membetulkan tekad dalam memaknai perubahan yang diimpikan.
ANWAR IBRAHIM
Presiden PKR.