SAMPAI BILA TUN MAHATHIR MAHU MENGUBAH-UBAH JANJI PERALIHAN KUASA?


Mula-mula Tun Mahathir Mohamad mahu diberi masa selama dua tahun untuk memegang jawatan Perdana Menteri.
Kata beliau, tempoh itu memadai untuk beliau menyelesaikan masalah ekonomi dan memulihkan negara, selain usianya ketika mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri sudah menjangkau 93 tahun pada waktu itu.
Kemudian, selepas dua tiga bulan duduk di kerusi empuk Perdana Menteri, beliau berkata tempohnya memegang jawatan, “mungkin dua tahun, mungkin kurang dan mungkin lebih daripada dua tahun”.
Ini adalah kata-katanya yang mula berubah nada buat kali pertama.
Selepas itu, dalam satu sidang media di mana ketika itu Anwar Ibrahim duduk di sebelahnya, sambil melirik kepada bakal penggantinya itu, Tun Mahathir berkata, “kalau Anwar beri izin, dapatlah saya jadi Perdana Menteri selama dua tahun setengah”.
Ini pula perubahan kata-katanya untuk kali yang kedua.
Menjelang genap setahun mengempuki kerusi Perdana Menteri, sementara terus mengatakan Anwar adalah penggantinya, Tun Mahathir membayangkan beliau memerlukan maksimum tiga tahun memegang jawatan itu.
Katanya, tempoh itu diperlukan untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan memulihkan negara sebelum diambil alih oleh penggantinya, Anwar.
Makna kata, bukan lagi dua tahun, bukan juga dua setengah tahun, tapi tiga tahun yang dimahukan oleh Tun Mahathir sebagai tempohnya memegang jawatan Perdana Menteri.
Ini adalah perubahan kata-kata Tun Mahathir buat kali yang ketiga.
Dengan seringkali berubah nada itu, jujur dan ikhlaskah kata-kata Tun Mahathir bahawa Anwar tetap sebagai penggantinya?
Tahun depan apa pula nadanya?
Tidak mustahilkah Tun Mahathir akan mengubah lagi kata-katanya untuk kali yang keempat dengan mahu menjadi Perdana Menteri selama empat tahun pula?
Putar Halim….putar lagi Halim….
Sampai bila memutar kata-kata ini akan terus menjadi amalan oleh seorang Perdana Menteri yang sudah berusia 94 tahun tuanya?
Tidak bolehkah dalam hal ini Majlis Presiden PH segera membuat keputusan muktamad agar tiada lagi kekeliruan dan ketidaktentuan berhubung peralihan kuasa kepada Anwar itu? (Shahbudindotcom 10/05/2019)

No comments: