PASIR M23 Mac : Sebanyak 800,000 Kad Harapan akan
diagihkan kepada golongan mahasiswa bagi mengelakkan
mereka ‘ikat perut’ akibat masalah kewangan ketika sedang
menuntut, kata Yang Dipertua Dewan Ekonomi Usahawan
Malaysia (DEUM) Datuk Seri Khuzaini Zamzani.
Katanya kad berkenaan disasar untuk diagihkan kepada
mahasiswa yang meminjam dengan Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Dengan Kad Harapan ini mereka boleh membeli
barangan di Kedai Harapan dengan potongan harga antara
tujuh hingga 10 peratus.
“Harapan kami adalah agar dapat membantu mahasiswa
daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada
pemberita pada Program Ayam Hutan Berkokok di Dataran
Komuniti di Kampung Padang Embon di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar apabila terdapat sebilangan
mahasiswa terpaksa ‘mengikat perut’ dengan hanya makan
sekali sehari, terpaksa berpuasa malah terpaksa bergantung
pada roti kerana kekangan kewangan.
Khuzaini berkata Kedai Harapan berkenaan akan dilancarkan
Sabtu depan di Shah Alam oleh Timbalan Menteri
Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.
“Bagi fasa pertama, sebanyak 70 premis Kedai Harapan akan
dilancarkan dan 220 Kedai Harapan disasar untuk dibuka
sehingga hujung tahun ini.
“Kedai Harapan juga dijangka dapat membantu pengusaha
perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila 20 peratus
produk mereka akan dijual di kedai itu,” katanya.