SYABAS NURUL IZZAH…..

Sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar semalam mengumumkan perletakan jawatannya sebagai anggota PAC.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berbuat demikian berikutan perubahan pendirian PH, terutamanya berikutan kenyataan Perdana Menteri selepas Pengerusi PAC sedia ada, Ronald Kiandee menyertai Bersatu.
Salah satu janji manifesto PH ketika kempen PRU14 ialah melantik Pengerusi PAC atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara daripada kalangan pembangkang dan untuk itu, Ronald Kiandee daripada UMNO telah dilantik memegang jawatan tersebut selepas PH berjaya menumbangkan BN buat pertama kali pada pilihanraya 9 Mei 2018 lalu.
Bagaimanapun selepas Ronald Kiandee memilih menyertai Bersatu, Tun Mahathir Mohamad turut berubah pendirian dengan mengatakan tidak perlu bagi Ahli Parlimen Beluran itu melepaskan jawatannya.
Alasan Tun Mahathir ialah PH sudah pun menunaikan janji manifestonya ketika mula melantik Ronald Kiandee dulu, namun katanya, “apa PH boleh buat apabila Ahli Parlimen tersebut memilih untuk menyertai parti kerajaan.”
Hujah Tun Mahathir ini bukan saja mengecewakan, malah seperti mempermain-mainkan janji PH sendiri, sedangkan mengisi orang baru mengisi jawatan PAC itu disebabkan tindakan beralih kiblat politik bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilakukan.
Mengapakah Tun Mahathir tiba-tiba jadi tidak setia lagi kepada janji PH sendiri?
Tetapi dengan perletakan jawatan Nurul Izzah menjelang mesyuarat PAC dalam waktu terdekat yang akan membuat pendirian sama ada mahu melantik peneraju baru atau mengekalkan Ronald Kiandee, pujian harus diberikan kepadanya yang pernah digelar Puteri Reformasi sebelum ini.
Isyarat daripada perletakan jawatan beliau ini adalah sangat jelas iaitu PH mesti kembali kepada janji manifestonya semula.
PH ini tertegak dan berjaya menjadi kerajaan bukanlah disebabkan oleh Tun Mahathir seorang diri, tetapi kerana perjuangan pemimpin-pemimpinnya gabungan itu melaungkan pembaharuan dalam negara sejak tahun 1998 lagi.
Untuk itu, mereka yang berjuang daripada awal hinggalah sekarang mesti kekal dengan prinsip menegakkan perjuangan reformasi tersebut.
Ini kerana perjuangan reformasi telah diterima oleh majoriti rakyat dan mereka berharap ia benar-benar dijadikan kenyataan dalam negara ini.
Perlantikan Pengerusi PAC daripada kalangan pembangkang hanyalah salah satu daripada pembaharuan yang dijanjikan oleh PH demi tadbir urus serta semak dan imbang yang lebih baik dalam kerajaan.
Jika jawatan itu gagal dikembalikan kepada pembangkang, bererti PH akan lebih teruk daripada BN dahulu kerana selain Pengerusi PAC datang daripada Betsatu, timbalannya pula adalah daripada DAP. Semasa BN, walaupun peneraju PAC adalah parti kerajaan, tetapi timbalannya adalah pembangkang.
Reformasi apa jika begitu keadaannya?
Banyak lagi pembaharuan atau reformasi yang dijanjikan yang sedang ditunggu atau diperhatikan rakyat sama ada PH benar-benar jujur mahu melaksanakannya atau tidak.
Dalam hal ini, sikap dan tindakan Nurul Izzah adalah terpuji dan syabas diucapkan kepadanya.
Janji pembaharuan kepada rakyat adalah jauh lebih utama daripada kedudukan dan beliau sanggup melepaskan jawatan untuk memberi tekanan kepada kerajaan agar apa yang pernah dijanji dahulu benar-benar ditunaikan apabila kuasa sudah ada dalam genggaman.
Harus lebih ramai dalam PH yang berani dan sanggup berbuat seperti Nurul Izzah ini bagi memastikan PH dapat mentadbir negara ini dengan lebih lama lagi.
Tun Mahathir sudah mencecah umur 94 tahun sekarang ini, usianya mungkin tidak berapa lama lagi di dunia ini.
Tetapi, yang jauh lebih penting, baik ada Tun Mahathir atau tidak, PH ini perlu terus bernyawa dan berada di hati rakyat Malaysia sebagai kerajaan yang mendapat kepercayaan.
Untuk itu, selagi ramai yang ada jiwa seperti Nurul Izzah ini, maka selagi itulah PH akan terus jadi pilihan rakyat kerana sikap beliau adalah aminan segala janji dan pembaharuan benar-benar suatu keutamaan.
Syabas Nurul Izzah kerana berani memulakannya. (Shahbudindotcom 23/03/2019)

No comments: