50 pasar nelayan: Ikan lebih murah pada masa depan
Bagi membantu memasarkan produk dan hasil keluaran nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhasrat untuk membuka sebanyak 50 buah pasar nelayan di seluruh negara.
Ini adalah bagi memastikan harga ikan yang murah dapat dipasarkan kepada para pengguna serta meningkatkan pendapatan nelayan.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil ketika meninjau pasar nelayan di Kuala Kedah semalam.
Jelas beliau lagi, bagi meningkatkan sosio ekonomi nelayan, LKIM akan turut membaiki 30 jeti yang rosak dan uzur.
Selain itu katanya, penambah baikkan persatuan nelayan akan mampu memberi keselesaan kepada golongan nelayan untuk meneruskan aktiviti penangkapan ikan.
“Disamping itu program yang berunsur keagamaan akan juga diperbanyakkan bagi meningkatkan kekuatan rohani nelayan.
“Usaha akan ditingkatkan bagi merangsang ekosistem ekonomi yang lebih baik dalam meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan dan jualan produk pertanian dengan harga yang lebih berpatutan.
“Program Bazar Peduli Rakyat akan disinergikan antara LKIM, Fama dan juga LPP sebagai salah satu kaedah untuk mengembangkan program ini ke seluruh negara, ” tegas beliau lagi.
Beliau juga berkata, pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub yang bersetuju untuk LKIM menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Nelayan sebagai sebuah dana khusus bagi membantu nelayan yang uzur dan bersara setelah tidak diberi pembelaan amat dialu-alukan.
Tambahnya lagi, dengan visi baharu yang sedang dirangka akan mampu memberi kemakmuran bukan saja kepada institusi nelayan tersebut tetapi juga seluruh keluarga mereka yang mengharapkan dokongan dan pembelaan.