Kenapa PH sentiasa bergolak?
Mengapa topik utama yang timbul dalam PH sejak awal lagi lebih banyak berkisar mengenai persoalan politik berbanding isu-isu lain?
Ini adalah persoalan umum yang biasa kedengaran di mana-mana, termasuk daripada kalangan pengundi PH sendiri yang mula berasa muak serta kecewa dengan apa yang berlaku dalam negara pasca tumbangnya BN ini.
Sejujurnya memang ramai yang kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini, malah ada yang tidak teragak-agak mahu kembali mengundi BN dalam pilihanraya akan datang jika PH tidak berubah serta kepimpinan UMNO dapat menampilkan barisan yang lebih baik serta diyakini.
Sepatutnya, sebaik saja berjaya mengambil alih kerajaan, PH terus bergerak ke hadapan dengan komitmen yang lebih padu dalam menunaikan janji-janji manifesto serta memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat sebagaimana yang selalu dilaungkan ketika berkempen dahulu.
Malangnya, perkara itu tidak berlaku, walaupun Tun Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri adalah seorang yang ada pengalaman selama 22 tahun mentadbir negara serta berada di sisa-sisa usia dalam kehidupannya.
Sebaik mengambil alih kerajaan, bahkan sehingga sekarang pun, alasan yang selalu diberikan apabila gagal melakukan sesuatu ialah menyalahkan kerajaan dahulu.
Untuk suatu fasa tertentu, meletakkan kesalahan kepada BN mungkin boleh diterima, tetapi jika sehingga sembilan bulan masih juga dengan alasan yang sama, ia tidak lebih menggambarkan kegagalan Tun Mahathir sebagai pengemudi dan PH itu sendiri dalam mentadbir negara.
Selain itu, tindakan tak terduga Tun Mahathir melantik Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, biar pun namanya tidak pernah dicalonkan oleh PKR untuk menjadi menteri, adalah merupakan bibit-bibit awal berrmulanya keretakan dan syak wasangka dalam PH.
Ia ditambah lagi dengan Tun Mahathir sendiri yang sentiasa memberi jawapan kabur dan tergantung berhubung peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.
Ayat yang selalu keluar daripada mulut beliau ialah “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang.”
Mengapakah Tun Mahathir tidak mahu bertegas seperti berjanji dengan perkataan yang jelas lagi terang bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang telah dipersetujui atau menetapkan tarikh tertentu bagi peralihan kuasa itu?
Jika itu dilakukannya sejak dulu lagi, sudah tentu isu peralihan kuasa itu tidak terus menjadi naratif yang bukan-bukan atau berkembang kepada spekulasi yang meletakkan PH dalam keadaan kucar-kacir.
Kemudian daripada itu, di sebalik banyak janji 100 hari yang gagal ditepati dan hala tuju ekonomi masih tidak menentu, Tun Mahathir meneruskan lagi agenda politiknya dengan membawa masuk Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu serta melebarkan sayap parti itu ke Sabah.
Jika benar-benar Tun Mahathir hanya ingin menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja dan dalam keadaan Bersatu hanya ada 13 kerusi Parlimen saja pun, beliau tetap dipersetujui untuk sebagai Perdana Menteri, untuk apa lagi beliau perlu menambah kekuatannya dengan membawa masuk bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu?
Terbaru, beliau melakukan satu lagi gerakan bermotifkan politik apabila secara tiba-tiba Presiden Pas, Hadi Awang datang mengunjunginya bersama surat contoh sokongan kiranya berlaku undi tidak percaya di Parlimen.
Meskipun dikhabarkan kunjungan itu berikutan Pas ingin menyelamatkan diri berhubung siasatan SPRM yang sedang dihadapinya, khabar lain juga memaklumkan Tun Mahathir melalui orang-orang tertentu yang dipercayainya turut mengambil kesempatan daripada keadaan itu sehingga membawa kepada wujudnya surat contoh sokongan tersebut.
Ini sekaligus menjadikan PH terus berantakan dengan seolah-olah wujud gerakan mahu mengusulkan undi tidak percaya terhadap Tun Mahathir di Parlimen, walaupun realitinya perkara itu tidak menjadi isu sama sekali.
Peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar adalah isu dalaman PH semata-mata. Ia sepatutnya diselesaikan melalui PH sahaja sebagaimana berlakunya banyak pertukaran Perdana Menteri dalam BN sebelum ini tanpa perlu sehingga dilakukan usul undi tidak percaya.
Jika Tun Abdullah Badawi boleh dipaksa berundur secara paksa berikutan banyak kerosakan yang ditimbulkannya kepada negara, apakah masalahnya untul PH melalui Majlis Presiden bertegas mengenai peralihan kuasa itu kiranya Tun Mahathir dengan jelas menampakkan tanda-tanda enggan patuh kepada perjanjian dua tahun itu?
Selepas ini kita tidak tahu apakah perkara-perkara lain yang akan ditimbulkan lagi oleh Tun Mahathir yang memperlihatkan PH seolah-olah hanya bermain politik saja daripada menyelesaikan masalah-masalah rakyat.
Yang nyata, semuanya isu-isu politik yang timbul dalam PH sehingga ia menjadi kucar-kacir dan berantakan adalah berpunca atau ditimbulkan oleh Tun Mahathir.
Jika beliau tidak melantik Azmin, bercakap secara terang dan jelas mengenai tarikh pengunduran sebagaimana beliau melakukannya pada 2003 dahulu, tidak membawa masuk bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu untuk menguatkan kedudukannya dan hanya melayan Pas sebagai Pas yang telah menetapkan pendiriannya untuk bekerjasama dengan UMNO, PH pasti tidak berkemelut seperti sekarang, malah aman-aman saja situasinya.
Sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan - itulah yang selalu kita diingatkan oleh peribahasa apabila menghadapi sesuatu kesulitan.
Sama ada jika Tun Mahathir sedia berundur secara rela hati demi masa depan PH atau kalau beliau diundurkan, PH sebenarnya mampu kembali menjadi aman dan tenang seperti sebelumnya. (ShahbudinHusin 21/02/2019)