Pulapol didakwa hidang makanan busuk, lif dan tandas sering rosak


Dua ahli Parlimen DAP hari ini membangkitkan mengenai operasi dan infrastruktur Pusat Latihan Polis Malaysia (Pulapol) yang dilihat berada pada tahap yang tidak memuaskan.
Menurut Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, antara aduan yang diterima beliau daripada para pelatih adalah mengenai makanan busuk yang disediakan pihak Pulapol.
Beliau mendakwa terdapat sekurang-kurangnya tiga kes keracunan makanan berlaku tahun ini sehingga menyebabkan berbelas-belas orang dikejarkan ke hospital.

“Pihak pembekal membekalkan ikan dan ayam busuk… Ini bukan kali pertama, tetapi Kementerian Dalam Negeri tetapi gunakan khidmat pembekal yang sama.

“Mengapa jadi begini? Kementerian Dalam Negeri harus jawab. Saya harap Kabinet akan meneliti perkara ini. Bayangkan, inilah tempat di mana kita melatih bakal-bakal ketua polis negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Selain itu, katanya, pelatih juga terpaksa menghadapi masalah infrastruktur seperti lif dan tandas rosak.

Menurut Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu, lif di kebanyakan bangunan di Pulapol rosak sejak dua tahun lalu, malah keadaan lampu serta tandas amat tidak memuaskan.

Lim Eng menegaskan bahawa beliau tidak mengkritikan pasukan polis, sebaliknya menyuarakan pandangan pegawai polis kanan yang menceritakan mengenai masalah tersebut kepadanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kampar Thomas Su menggesa kerajaan agar menjaga kebajikan pegawai polis.

“Jika kita tidak boleh jaga polis, siapa yang kita boleh harap untuk jaga negara? Ini logik yang paling mudah,” ujarnya. 



No comments: