APAKAH PAS TIDAK PERCAYA ADA PENYELEWENGAN DALAM TABUNG HAJI?



Pas dilaporkan berharap beberapa pendedahan berkaitan isu Tabung Haji kebelakangan ini tidak merupakan satu lagi siri balas dendam oleh kerajaan PH terhadap BN.

Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata, semua dakwaan yang terdedah setakat ini belum dibuktikan dan mesti disiasat, didakwa mengikut proses yang sewajarnya sebelum sesuatu hukuman dapat dibuat.

“Pas berharap pendedahan terhadap penyelewangan yang didakwa berlaku dalam Tabung Haji kini bukan sekadar satu lagi siri balas dendam kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan lama yang direka tanpa bukti yang kukuh," kata beliau dalam satu kenyataan.

Seterusnya, bekas Ahli Parlimen Temerloh itu juga membayangkan keraguannya berkenaan pendedahan isu Tabung Haji kerana ia kononnya didedahkan hanya menjelang himpunan bantah ICERD pada 8 Disember ini.

Sebagai “cinta baru” kepada UMNO, sebenarnya tidaklah memeranjatkan apabila Pas melalui Nasruddin mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Hakikatnya, apabila seseorang itu sedang dilamun cinta, bagaimana "hitam" sekali pun gambaran yang diberikan kepada pasangan barunya itu, di hatinya ia tetap kelihatan "putih dan suci".

Begitu jugalah dengan Pas yang sedang asyik mahsyuk bercinta dengan UMNO sekarang ini.

Kata dan dedahlah apa saja terhadap pemimpin UMNO,  pasti ada suara daripada Pas yang  membela dan tidak mempercayai segala tuduhan itu.

Hakikatnya, apabila Nasruddin mengharapkan pendedahan berkenaan penyelewengan Tabung Haji bukanlah sesuatu yang bersifat balas dendam terhadap UMNO atau bertujuan mengalih perhatian, ia dengan sendirinya bermakna itulah tafsiran yang sudah tersemat dalam hatinya, kalau pun tidak dalam hati seluruh pimpinan Pas yang lain.

Kenapa beliau cuba mengaitkan pendedahan itu dengan balas dendam atau tujuan-tujuan lain?

Adakah beliau tidak percaya pemimpin UMNO sanggup melakukan penyelewengan atau salah guna kuasa dalam agensi suci seperti Tabung Haji?

Ataukah mereka yang dilantik BN dalam Tabung Haji sebelum ini merupakan golongan suci dan maksum belaka?

Untuk makluman Nasruddin, berlakunya sesuatu penyelewengan atau penipuan, baik dalam Tabung Haji atau di mana-mana sekali pun adalah kerana duit atau wang.

Lebih-lebih lagi jika jumlah wang yang terlibat adalah besar, ia sudah tentu melibatkan lebih daripada tiga orang, banyak menggunakan dokumen dan perlunya melalui bank untuk transaksi atau proses pemindahan tunai.

Dalam semua keadaan itu, segala-galanya ada bukti dan tidaklah mudah untuk menghapuskannya seperti memadam tulisan di papan hitam.

Semakin besar penyelewengan, semakin sukar bukti mahu dipadamkan.

Sebab itu, skandal 1MDB terdedah juga akhirnya, walaupun berbagai cara dan helah cuba diusahakan untuk menutupnya.

Dalam kes penyelewengan Tabung Haji di mana pengurusan barunya sendiri sudah membuat dua laporan polis, sementara menunggu siasatan dijalankan, kita seharusnya meyakininya dengan sepenuh hati tindakan mereka itu.

Selain lembaga pengarah dan pengurusan baru Tabung Haji sekarang bebas daripada kaitan dengan politik, jika laporan polis yang dibuat itu tidak benar atau fitnah, mereka dengan sendirinya juga terdedah kepada kesalahan membuat laporan palsu kepada polis.

Maka, di mana logiknya pengurusan baru Tabung Haji sanggup berbuat demikian?

Apa kepentingan mereka, bukan saja untuk kemungkinan menganiaya Azeez Rahim, malah terhadap himpunan membantah ICERD yang melibatkan UMNO dan Pas? (ShahbudinHusin 03/12/2018)

No comments: