Rafizi: TH sembunyi kerugian supaya nampak untung sebelum PRU14



Rafizi Ramli.

PETALING JAYA: Rafizi Ramli berkata Lembaga Tabung Haji (TH) terpaksa menukar peraturan untuk menyembunyikan kerugian dalam TH Heavy Engineering (THHE), yang akan ada kesan kepada keuntungan di peringkat kumpulan.
Merujuk kepada laporan ketua audit negara semalam, bekas ahli Parlimen Pandan berkata tindakan itu akan mempengaruhi jumlah peratusan keuntungan yang boleh diisytiharkan kepada orang ramai.
“Nampaknya untuk memastikan supaya TH nampak terus untung, supaya boleh isytihar yang tinggi beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-14,” katanya kepada FMT.
Beliau mengingatkan FMT bahawa keuntungan peratusan untuk pendeposit bagi tahun kewangan 2017 diisytiharkan hujung Januari 2018, iaitu beberapa bulan sebelum PRU14.
“Maksudnya kalau keuntungan rendah dan kerugian THHE itu direkodkan, ia mengesahkan pendedahan saya sebelum ini,” katanya.
“Sebab itu pengurusan TH sebelum ini bertindak menukar peraturan sendiri untuk menyembunyikan kerugian tersebut. Akhirnya ia dikenalpasti oleh ketua audit negara dan itulah yang dilaporkan.”
Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang diterbitkan semalam mendedahkan TH tidak merekodkan rosot nilai (impairment) berjumlah RM227.81 juta terhadap pelaburan dalam 3 syarikat subsidiari dan 3 syarikat bersekutu, khususnya pelaburan dalam THHE berjumlah RM164.58 juta.
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, penyata kewangan syarikat ini menerima penafian pendapat oleh juruaudit luar,” kata Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad.
Malah, katanya, kaedah penetapan polisi rosot nilai aset kewangan TH tidak konsisten, kerana terdapat perubahan polisi rosot nilai pada setiap tahun khususnya dalam tahun berakhir 31 Disember 2017, di mana polisi itu diubah sebanyak 2 kali.
“Saya telah dedahkan unjuran kewangan TH sejak dari 2016 lagi, yang menunjukkan kerugian-kerugian terutamanya di dalam anak syarikatnya iaitu THHE,” kata Rafizi.
Beliau seterusnya menjelaskan keputusan kewangan TH pada setiap tahun mesti mengambil kira untung rugi pelaburannya dalam anak-anak syarikat.
Katanya, hasil keseluruhan untung rugi itu akan menentukan keuntungan TH di peringkat kumpulan.
“Jumlah keuntungan itu akan menentukan dividen yang boleh diumumkan, kerana secara undang-undang TH tidak boleh mengisytiharkan dividen lebih dari keuntungan,” katanya.
Ditanya tentang penafian TH sebelum ini, Rafizi tidak mahu mengulas perkara itu. Lagipun, ia tidak mengguris beliau.
“Memang tanggungjawab saya untuk membawa isu-isu seperti ini,” katanya.
Rafizi berkata kerajaan dan pengurusan sekarang bertanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan pendeposit, dengan mengambil sikap berterus-terang dan mengaudit keseluruhan operasi TH.
“Supaya apa-apa kepincangan yang masih ada dapat diatasi segera,” katanya.

No comments: